1,159 mangsa banjir di Kelantan setakat tengah hari

Bernama
Januari 2, 2017 14:51 MYT
Jumlah mangsa banjir dijangka terus berkurangan berikutan situasi banjir di Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah beransur pulih. - Gambar fail
Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 24 pusat pemindahan di lima jajahan di Kelantan berkurangan sedikit kepada 1,159 orang daripada 343 keluarga setakat 1 tengah hari ini berbanding 1,284 orang daripada 346 keluarga pada 8 pagi tadi.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata daripada jumlah itu, 522 orang (137 keluarga) di Kuala Krai, 32 orang (13 keluarga) di Jeli, 367 orang (112 keluarga) di Tanah Merah, 79 orang (18 keluarga) di Machang, dan 159 orang (63 keluarga) di Pasir Mas.
Jumlah mangsa banjir dijangka terus berkurangan berikutan situasi banjir di Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah beransur pulih, katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, menurut laman sesawang kerajaan negeri ebanjir.kelantan.gov.my, bacaan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang kini pada paras 10.22 meter(m) berbanding 10.19m pada 8 pagi tadi. Paras bahaya ialah 9m.
Ini kerana air dari bahagian hulu sungai berkenaan khususnya dari Jeli sedang mengalir ke kawasan Rantau Panjang sebelum ke Tumpat.
Paras air di tiga lagi sungai utama di Kelantan -- Sungai Galas di Dabong, Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Kelantan di Tangga Krai -- terus menunjukkan penurunan dan kini berada pada paras berjaga-jaga.
-- BERNAMA
#Kelantan #mangsa banjir
;