1,149 tangki statik langkah atasi masalah bekalan air ketika perayaan - PAIP

Bernama
April 26, 2022 10:00 MYT
PAIP menyediakan sebanyak 1,149 buah tangki statik, 27 lori tangki air dan enam tangki jumbo, sebagai persiapan di kawasan yang dijangka mengalami gangguan bekalan air, ketika musim perayaan.
KUANTAN: Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menyediakan sebanyak 1,149 buah tangki statik, 27 lori tangki air dan enam tangki jumbo, sebagai persiapan di kawasan yang dijangka mengalami gangguan bekalan air, ketika musim perayaan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata untuk premis-premis kritikal seperti pusat dialisis, pusat jagaan warga emas dan hospital, akan dibantu sekiranya terdapat permintaan.
"Langkah proaktif berkenaan dilaksanakan, kerana ketika musim perayaan penggunaan air dijangka meningkat sebanyak dua hingga tiga kali ganda, daripada biasa," katanya dalam kenyataan yang diedarkan semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Media di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua 73 Loji Rawatan Air (LRA) akan beroperasi secara maksima bagi memenuhi permintaan, selain petugas akan bekerja secara 24 jam mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Selain itu, PAIP telah melaksanakan penyelenggaraan aset-aset lebih awal kerana menyedari permintaan bekalan air meningkat semasa musim perayaan, apabila orang ramai pulang ke kampung yang menyebabkan beberapa kawasan mengalami tekanan air rendah terutama di kawasan felda dan kampung tradisional.
"Pengguna dinasihatkan agar menggunakan air secara berhemah dan menyimpan bekalan air secukupnya, sebagai persediaan musim perayaan," katanya.
Bagi melancarkan aduan pengguna, petugas telah ditugaskan sehingga jam 12 tengah malam dan pengguna boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di talian 09-5739999.
-- BERNAMA
#bekalan air #Pengurusan Air Pahang #tangki statik #Saiful Zaini Mohd Bokhari
;