1,120 pelajar positif COVID-19 di Kedah sejak 1 Januari

Adie Sufian Zulkefli
Januari 20, 2022 23:00 MYT
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo berkata, kluster aktif terbaharu yang direkodkan hari ini adalah kluster kesembilan melibatkan institusi pendidikan iaitu Kluster Dah Teratai Jingga. - Gambar fail/BERNAMA
ALOR SETAR: Seramai 1,120 pelajar di negeri Kedah disahkan positif COVID-19 sejak 1 Januari lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Othman Warijo berkata, kluster aktif terbaharu yang direkodkan hari ini adalah kluster kesembilan melibatkan institusi pendidikan iaitu Kluster Dah Teratai Jingga.
“Kluster ini membabitkan Maktab Mahmud Alor Setar yang mencatatkan 18 kes positif COVID-19.
"Manakala kluster membabitkan institusi pendidikan di Kedah iaitu Kluster Dah Che Bema, yang tercetus selepas dua hari sekolah dibuka mula direkodkan pada 11 Januari lalu.
"Seterusnya Kluster Dah Jalan Merbau membabitkan warga Kolej MARA Kuala Nerang yang dikesan pada 17 Januari.
Dalam pada itu, tiga lagi kluster baharu dikesan adalah Kluster Dah Penyarom di Maktab Mahmud Pendang, Kluster Dah Teluk Teduri membabitkan warga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling dan Kluster Dah Jalan Pantai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda, Sungai Petani dikesan pada 18 Januari lalu,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Dr Othman memaklumkan pada Rabu tiga lagi kluster baharu dikenal pasti iaitu Kluster Dah Padang Halban membabitkan warga SMK Changlun di Kubang Pasu dan Kluster Dah Sungai Kob membabitkan warga SMK Sungai Kob di Kulim.
Sementara satu lagi adalah Kluster Dah Sungai Limau membabitkan warga Sekolah Menengah Agama, SMA Saadah Al-Diniyah Al-Islamiyah di Yan.
#pelajar #positif COVID-19 #Kedah #Januari #Jabatan Kesihatan Negeri #Dr Othman Warijo #Kluster Dah Teratai Jingga #Alor Setar #Kluster Pendidikan
;