1,120 aduan majikan langgar SOP PKP - Saravanan

Bernama
Jun 4, 2021 16:43 MYT
Saravanan berkata, antara aduan diterima ialah majikan memaksa pekerja bekerja lebih masa. - Gambar fail
NILAI: Kementerian Sumber Manusia menerima 1,120 aduan berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 oleh majikan di seluruh negara sejak 25 Mei lalu hingga semalam.
Menterinya Datuk Seri M Saravanan berkata antara aduan tersebut ialah majikan memaksa pekerja bekerja lebih masa selain kehadiran pekerja di premis melebihi had yang dibenarkan oleh pihak berkuasa sepanjang pelaksanaan PKP termasuk ketika sekatan pergerakan penuh yang sedang berkuat kuasa.
Beliau berkata kesemua aduan itu sedang disiasat oleh pihaknya melalui Jabatan Tenaga Kerja yang telah diberikan kuasa oleh Majlis Keselamatan Negara untuk mengeluarkan kompaun hingga RM50,000 terhadap majikan yang didapati bersalah melanggar SOP berkenaan.
"Tolonglah, dalam keadaan sekarang majikan jangan ambil kesempatan. Bila kami ambil tindakan jangan salahkan kerajaan, memutuskan rantaian COVID-19 ini menjadi tanggungjawab semua pihak, tidak boleh harapkan kerajaan dan kementerian sahaja.
"... apabila kerajaan minta kurangkan jumlah pekerja di tempat kerja, ikutlah SOP, itu sahaja," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan Operasi Pematuhan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990) dan SOP PKP 3.0, di sini hari ini.
Sementara itu, Saravanan menjelaskan kementeriannya tidak terlibat dalam memberi kebenaran pengoperasi sektor dan perjalanan untuk bekerja menerusi COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.
Bagaimanapun katanya kementerian itu mempunyai kuasa mengambil tindakan mengarahkan syarikat yang ingkar SOP ditutup.
Mengenai pematuhan Akta 446, Saravanan berkata pihaknya telah melakukan pemeriksaan terhadap 19,010 majikan yang melibatkan 106,593 buah penginapan pekerja di seluruh negara setakat ini.
Katanya sebanyak 742 kertas siasatan dibuka di bawah akta itu dengan 125 kes telah didakwa.
Sebanyak 49 kes pendakwaan selesai membabitkan denda berjumlah RM352,000, katanya.
-- BERNAMA
#Kementerian Sumber Manusia #aduan #Pelanggaran SOP #majikan #PKP #total lockdown #M Saravanan
;