1,001 PATI tanpa dokumen sah ditahan di 'mini Dhaka'

Sinar Harian
Disember 21, 2023 19:27 MYT
Allaudeen melihat PATI yang ditahan di 'mini Dhaka' untuk dibawa ke Pulapol bagi siasatan lanjut pada Khamis. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Seramai 1,001 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi khas di 'mini Dhaka' sekitar Kompleks Kota Raya dan Jalan Silang di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kesemua PATI terbabit ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kita melaksanakan pemeriksaan tehadap 60 premis di kawasan sekitar itu.
"Kesemua PATI memberi kerjasama yang baik dan tidak berlaku sebarang pergelutan dan kecederaan," katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Khamis.
Allaudeen berkata, seramai 1,138 anggota pegawai dari Briged Tengah Pasukan Gerakan AM (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terlibat dalam operasi itu.
"Operasi Itu turut melibatkan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Kuala Lumpur, Unit Anjing Pengesan (K9)).
"Selain itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut terlibat dalam operasi itu," katanya.
Beliau berkata, operasi itu adalah bertujuan bagi membanteras pelbagai aktiviti jenayah yang berlaku di kawasan tersebut.
"Kita turut merampas 100 karton rokok, 80 karton arak, ubat-ubatan tanpa kelulusan KKM yang dianggarkan bernilai RM104,530," katanya.
Beliau berkata, kesemua PATI yang ditahan itu diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan bawah Akta Imigresen 1959,
"DBKL pula akan mengambil tindakan terhadap pemilik premis yang menyewa dan menggajikan PATI," katanya.
Allaudeen berkata, pihaknya akan terus menjalankan operasi khas seperti itu pada masa akan datang.
"Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berhubung kegiatan yang mencurigakan atau kehadiran PATI di kawasan masing-masing kepada pihak polis.
"Pihak polis akan terus menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi menjaga serta mengawal keselamatan dan ketenteraman negara," katanya. - Sinar Harian
#mini Dhaka #Jalan Silang #operasi besar-besaran #pati
;