1,000 unit lampu jalan solar pintar di Perak, termasuk kampung Orang Asli - MB
Aida Aziz
Mei 10, 2023 06:45 MYT
Mei 10, 2023 06:45 MYT
IPOH: Sebanyak 1,000 unit lampu jalan solar pintar akan dipasang secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan di negeri ini, termasuk di kawasan pedalaman dan perkampungan Orang Asli.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, lokasi pemasangan lampu solar tersebut akan dikaji secara terperinci, bagi memastikan kemudahan itu sesuai dengan keperluan setempat.
Katanya, penggunaan teknologi hijau dan tenaga diperbaharui dilihat mampu mengurangkan jejak karbon negeri, negara dan antarabangsa, sekali gus menyokong usaha menangani kesan perubahan iklim.
"Banyak kampung termasuk kampung Orang Asli, penduduk mengadu selalu bergelap dan menuntut supaya kerajaan negeri melalui Tenaga Nasional Berhad memasang lampu jalan, namun kos bil akan tinggi.
"Dengan adanya teknologi ini (solar pintar) kita tidak payah fikir siapa yang akan bayar bil sebab penjanaan semula tenaga elektrik menggunakan solar.
"Sasaran kita untuk pasang 1,000 unit dahulu dan akan diperluas mengikut keperluan, tidak kira di bandar atau kampung," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Pelestarian Bangunan Perak Techno Trade Centre (PTTC) Dengan Penggunaan Smart Solar Streetlighting & Rooftop Solar Panel di Meru Raya, di sini, malam tadi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Datuk Redza Rafiq Abdul Razak dan Pengerusi Eksekutif Reneuco RE Sdn Bhd Datuk Mustakim Mat Nun.
Saarani menambah, inisiatif itu merupakan usaha sama strategik antara PKNPk melalui anak syarikatnya, Perak Industrial Resources Sdn Bhd (PIRSB) dan Reneuco RE.
Sementara itu, Redza Rafiq berkata, pemasangan lampu jalan solar pintar itu akan memberi kesan positif dalam penjimatan kos elektrik serta mengurangkan risiko kecurian kabel.
"Lampu jalan solar pintar jenama Sunna Design buatan Perancis ini telah menerima pengiktirafan melalui 11 anugerah antarabangsa serta 14 anugerah paten.
"Direka bentuk menggunakan grid pintar yang digerakkan oleh tenaga solar, pemasangannya sangat sesuai di kawasan awam dan pembangunan baharu, dengan penggunaan tenaga elektrik paling minimum atau di lokasi yang tiada kemudahan elektrik," katanya.
Katanya lagi, untuk permulaan, PTTC menjadi perintis kepada inisiatif tersebut, dengan 22 unit lampu itu dipasang di pekarangan bangunan berkenaan.