1,000 tinggal sehelai sepinggang selepas rumah musnah dalam kebakaran di Tawau
Ridzal Abdullah
April 13, 2016 10:58 MYT
April 13, 2016 10:58 MYT
Hampir 1,000 penduduk tinggal sehelai sepinggang apabila lebih 100 rumah setinggan yang didiami musnah dalam satu kebakaran di Kampung Titingan, Tawau, Sabah awal pagi Rabu.
Menurut sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, mereka menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.33 pagi dan tiba di lokasi bersama jentera lima minit kemudian.
Sumber air terbuka diperoleh dari sungai dan pili bomba berhampiran serta dibantu jentera Majlis Perbandaran Tawau.
Pasukan bomba mengalami kesukaran ke lokasi kerana laluan yang sempit serta tekanan air rendah.
Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.