1,000 lesen perniagaan 'food truck' disasar dikeluarkan akhir tahun ini
Bernama
Februari 7, 2018 19:06 MYT
Februari 7, 2018 19:06 MYT
Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan kira-kira 1,000 lesen perniagaan kendera saji (trak makanan, food truck) dikeluarkan akhir tahun ini bagi merealisasikan hasrat sifar penjaja tepi jalan di sekitar ibu negara menjelang tahun 2020.
Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata setakat ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan sebanyak 220 lesen kendera saji.
"Sekarang ini, kita sedang berbincang dengan pihak pembuat trak ini bagaimana kita boleh atasi masalah yang dihadapi peniaga masa ini.
"Misalnya mendapat pinjaman dan sebagainya. Kita juga berbincang dengan pihak Majlis Amanah Rakyat, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (Tekun) untuk membantu mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Food Truck (Kendera Saji) Hari Wilayah Persekutuan 2018 di sini, hari ini bersempena Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9).
Tengku Adnan berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti lokasi untuk dijadikan pusat perniagaan kendera saji yang dilengkapi elektrik, air dan tempat pembuangan sampah.
"Sekarang ini mereka (peniaga) ada tempat-tempat statik, di kawasan parkir tertentu yang disediakan untuk mereka datang pada waktu makan tengah hari atau malam," katanya.
Pada karnival itu, setiap usahawan menyediakan satu menu rakyat yang dijual dengan tawaran harga RM5 sebagai menyahut seruan kerajaan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup warga kota.
- BERNAMA
#Food truck
#kendera saji
#Kuala Lumpur
#lesen
#perniagaan
#trak makanan
#warga kota
#Wilayah Persekutuan