1,000 kenderaan persendirian asing Thailand dijangka masuk Kelantan setiap hujung minggu
Muhafandi Muhamad
Mei 29, 2022 17:36 MYT
Mei 29, 2022 17:36 MYT
PASIR MAS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menjangkakan lebih 1,000 kenderaan persendirian dari Thailand akan memasuki negeri itu pada setiap hujung minggu, susulan kebenaran kenderaan asing merentas sempadan Malaysia-Thailand, mulai 1 Jun ini.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah, bagaimanapun berkata, pada hari biasa, pihaknya menjangkakan hanya 150 kemasukan kenderaan asing ke negeri ini setiap hari menerusi menerusi tiga pintu utama di Kelantan iaitu Stesen Kawalan Sempadan JPJ Rantau Panjang, Pengkalan Kubor, dan Bukit Bunga, Jeli.
“Semua kenderaan persendirian asing yang ingin memasuki negara ini dan sebaliknya perlulah mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti mana yang telah dikeluarkan pada tarikh 1 April 2022.
“Pas kawalan sempadan yang dikeluarkan adalah tertakluk kepada tempoh masa kebenaran masuk yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia. Stesen Kawalan Sempadan (SKS) JPJ akan mengeluarkan permit peredaran antarabangsa atau ICP dengna syarat pemohon mengemukakan dokumen yang telah ditetapkan dan lulus pemeriksaan kenderaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Stesen Kawalan Sempadan Rantau Panjang, Pasir Mas hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Narathiwat, Bilal Mat Yusof dan Pegawai Daerah Golok, Anirud Buaon.
Antara dokumen yang diperlukan bagi tujuan pengeluaran ICP termasuklah borang permohonan Permit Peredaran Antarabangsa (JPJK9), Borang Pengisytiharan Penumpang (JPJK9A), salinan pasport pemohon (pemandu/pemilik), dan salinan sijil perakuan pendaftaran kenderaan.
Mohd Misuari turut mengingatkan pengembara supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
Sementara itu, Bilal pula berharap kedua-dua negara dapat memudahkan proses keluar masuk kenderaan sekali gus merancakkan semula ekonomi sama ada di Thailand atau Malaysia.
Menurut Bilal lagi, rakyat Malaysia juga tidak perlu bimbang dan takut dengan insiden serangan di Tak Bai baru-baru ini kerana keselamatan pelancong terutamanya di Golok adalah terjamin.
#Kenderaan persendirian
#JJ Kelantan
#rentas sempadan
#Rantau Panjang
#Pengkalan Kubor
#Pasir Mas
#tak bai
#Golok