1,000 ikan siakap 90 sen habis dijual dalam sejam
Bernama
Januari 3, 2024 14:55 MYT
Januari 3, 2024 14:55 MYT
KUALA TERENGGANU: Simpati dengan nasib golongan memerlukan termasuk yang terjejas banjir, seorang peniaga ikan di Kuala Terengganu mengambil inisiatif menjual ikan siakap pada harga 90 sen seekor bagi ikan seberat kira-kira 700 gram, hari ini.
Sauffian Sauji, 36, berkata harga istimewa yang ditawarkan itu sangat murah berbanding harga jualannya iaitu RM10 hingga RM11 seekor bagi saiz sama.
Menurut pemilik kedai 'Ikang Flyover' itu, sebanyak 1,000 ekor ikan siakap dijual dengan harga murah pada hari ini, dengan had pembelian maksimum enam ekor seorang dan kesemua ikan sangkar itu habis terjual dalam tempoh 40 minit.
"Sambutan hari ini cukup luar biasa. Seawal 6 pagi orang sudah beratur, pekerja saya pun belum sempat buka kedai orang sudah serbu. Keseluruhan ikan siakap yang kita bawa hari ini adalah sebanyak 4,000 kilogram lebih. Sebanyak 1,000 ekor kita jual 90 sen seekor dan selebihnya kita jual dengan pelbagai harga tetapi masih murah seperti RM10 untuk tiga ekor dan RM6 seekor.
"Ikan siakap ini kita ambil dari penternak ikan sangkar di Pulau Pinang. Pada 3 petang semalam bekalan ikan sampai di Terengganu dan hari ini kita terus jual jadi memang ikan-ikan ini segar. Kita juga jual pelbagai ikan lain seperti ikan kembung, udang belang dan lain-lain lagi pada harga murah daripada pasaran," katanya ketika ditemui pemberita di kedainya di Kuala Ibai, dekat sini hari ini.
Menurut Sauffian, jualan murah itu juga bersempena dengan pembukaan cawangan keempat kedainya dan bercadang mengadakan jualan ikan siakap pada harga 80 seekor pada masa akan datang.
"Kita buat ini pertama memang untuk membantu mereka terkesan dengan banjir dan kurang berkemampuan kerana ikan siakap ini boleh dikatakan agak mahal untuk dibeli terutama keluarga yang mempunyai anak ramai. Ia juga bersempena dengan pembukaan cawangan 'Ikang Flyover' keempat hari ini.
"Bila saya tengok sambutan sangat menggalakkan, saya ingin buat jualan murah lagi pada masa akan datang, tidak perlu tunggu pembukaan cawangan baharu. Mungkin lepas ini kita akan jual 80 sen seekor pula," katanya sambil memberitahu kedainya menerima lebih 7,000 pembeli hari ini.
Sementara itu, seorang pelanggan Halimaton Mohamad, 45, berkata dia berharap lebih ramai peniaga menjual barangan makanan termasuk ikan pada harga murah bagi membantu golongan kurang berkemampuan menghadapi peningkatan kos sara hidup masa ini.
"Baguslah jual murah begini, orang kurang berkemampuan seperti saya pun dapat makan ikan siakap. Selama ini asyik makan ikan Selayang sahaja. Harap peniaga ikan ini dapat jual murah sebegini lagi pada masa akan datang," katanya yang membeli enam ekor ikan siakap.
Sementara itu Shahmi Hapizi, 24, dari Kampung Sungai Kerak dekat Marang berkata dia hanya sempat membeli tiga ekor ikan siakap yang dijual pada harga RM10 kerana ikan siakap yang dijual lebih murah itu telah habis.
"Saya tidak tahu ada yang datang ke sini seawal 6 pagi. Apabila saya sampai pada 9 pagi tadi saya lihat orang juga telah berkurangan dan ikan siakap 90 sen seekor pun sudah habis," katanya sambil berharap jualan murah berkenaan dapat diteruskan kerana ia sangat membantu mereka kurang berkemampuan.
-- BERNAMA