Zulin Aziz terima lamaran Farhan di Madinah

Astro Awani
Januari 29, 2022 13:58 MYT
Pasangan Zulin Aziz dan Farhan Norzaini akan disatukan sebagai suami isteri pada 20.2.22. - Gambar Kahnz Photograffiti/ Jimmy Kamarudin
KUALA LUMPUR: Rasa syukur tidak henti-henti dipanjatkan personaliti terkenal, Zulin Aziz kerana menerima lamaran daripada Farhan Norzaini ketika kedua-dua mereka berkunjung ke Madinah tahun lalu.
Sebelum itu, Zulin terlebih dahulu memohon kepada Allah agar dipermudahkan jodohnya dengan Farhan yang sudah dua tahun mencuri hatinya itu.
"Alhamdulillah, Farhan melamar saya ketika berada di Madinah. Sebenarnya sudah lama kami merancang, akhirnya Allah memperkenankan doa saya ketika berada di Tanah Suci,” dedah Zulin usai majlis pertunangannya yang berlangsung malam tadi.
Zulin, 33, dan Farhan, 35, saling mengenali antara satu sama lain sekitar dua tahun lalu sebagai rakan kongsi perniagaan sebelum cinta berputik.
Selepas masing-masing memahami bahawa ada perasaan kasih dan sayang sesama mereka serta restu keluarga diperoleh, Zulin dan Farhan sepakat mengikat tali pertunangan.
Majlis diadakan secara tertutup dan sederhana di kediaman abang Zulin di Segambut Dalam.
Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz berkata, dia dan Farhan sepakat memilih untuk melangsungkan pertunangan pada hari ini selepas pulang dari mengerjakan ibadah umrah hujung tahun lalu.
Pada majlis berkenaan, Zulin turut menerima dua bentuk cincin (merisik dan bertunang) daripada tunangnya.
"Majlis pada malam ini juga diadakan serba ringkas. Malah atas permintaan keluarga kami hanya menjemput keluarga terdekat sahaja demi menjaga prosedur operasi standard ( SOP)," kata Zulin berkongsi hari penuh bahagianya itu.
Farhan yang diyakini Zulin boleh membimbingnya ke jalan yang dituntut agama menjadi sebab mengapa dia memilih lelaki itu.
"Dia seorang yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga. Dia juga seorang pendengar yang setia. Saya selesa bersama dengannya dan boleh meluahkan apa sahaja kepadanya," kata Zulin.
Di mata Farhan pula, Zulin disifatkannya seorang wanita yang memiliki hati yang tulus dan ikhlas serta pandai mengambil hati keluarganya.
"Dia berada bersama saya di saat saya mengharungi detik paling hitam dalam hidup iaitu ketika saya kehilangan arwah ibu pada Oktober tahun lalu.
"Di situ saya tahu bahawa dialah wanita yang saya mahu sehidup semati. Malah arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti mana arwah menjaga saya. Dan Zulin ada ciri-ciri itu," kongsi Farhan lagi.
Sebetulnya, perkenalan Farhan dengan Zulin terjalin bertitik tolak pada keberaniannya menyapa bakal isterinya itu di akaun Instagram (IG) selepas menonton sebuah program hiburan popular.
Kebetulan pula, ketika itu Farhan menonton program berkenaan yang memuatkan laporan Zulin tidak jadi kahwin bersama arwah ibunya.
“Semasa menonton arwah ibu cakap dia rasa kasihan dengan Zulin. Malah tak semena-mena, arwah ibu tiba-tiba cakap tak kisah andai Zulin menjadi menantunya.
"Seterusnya, adik saya yang mendesak supaya mengirimkan mesej langsung kepada Zulin di IG. Saya memberanikan diri dan tak sangka dia membalas mesej. Masa itu saya fikir tak mungkin Zulin membalas mesej itu kerana saya hanya orang biasa di antara jutaan pengikutnya yang lain," kata Farhan sambil tersenyum manis.
Enggan bergelar tunangan dalam tempoh lama, Zulin dan Farhan bakal disatukan sebagai suami isteri pada 29 Februari ini.
#Zulin Aziz #Farhan Norzaini #Zulin Aziz bertunang #kahwin
;