Zizan dan Neelofa raih pencalonan terbanyak ABPBH

Astro Awani
Januari 9, 2013 06:32 MYT
Zizan Razak dan Neelofa menerima pencalonan terbanyak di "Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012". Kedua-dua selebriti itu dicalonkan dalam tiga kategori.
Untuk kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Zizan bersaing dengan Adi Putra, Bront Palarae, Shaheizy Sam dan pemenang Bintang Paling Popular 2011, Aaron Aziz.
Zizan juga tersenarai untuk kategori Pengacara TV Lelaki Popular selain Pelakon Komedi Lelaki Popular untuk empat tahun berturut-turut.
Tewas kepada Tasha Shila untuk kategori Artis Baru Wanita tahun lalu, Neelofa membuktikan dirinya masih di hati peminat.
Dia disaingi Fasha Sandha, Izara Aisyah, Nabila Huda dan Siti Saleha untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular.
Neelofa juga menjadi saingan kuat untuk Pengacara Wanita dan Pelakon Filem Wanita Popular.
Sementara itu, Aaron Aziz mendapat dua pencalonan menerusi Pelakon Filem dan Pelakon TV Lelaki Popular.
Juga, Datuk AC Mizal kembali tersenarai sebagai finalis untuk kategori Pengacara TV Lelaki di samping Aznil Nawawi.
Majlis penganugerahan bakal berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 7 April dengan tema "Ledakan Geometri".
#Aaron Aziz #Adi Putra #Bront Palarae #Fasha Sandha #Neelofa #Zizan Razak
;