Ziana Zain selamat jalani pembedahan bariatrik selepas kerap diserang gastrik
Gempak
April 9, 2022 09:40 MYT
April 9, 2022 09:40 MYT
PENYANYI terkenal, Ziana Zain bersyukur kerana akhirnya dia selamat menjalani pembedahan bariatrik bagi merawat masalah gastrik yang dialami.
Hasil rawatan itu, Ziana atau nama penuhnya Siti Roziana Zain, 53, memberitahu dia kini dapat menjalani kehidupan normal.
“Syukur Alhamdullilah Kak Ziana dah selamat mejalani rawatan untuk gastrik Kak Ziana.
"Dr Mustafa menjelaskan angin yang selalu menyerang Kak Ziana rupanya berpunca dari saluran ulu hati yang dah longgar, so cecair gastrik boleh senang masuk ke saluran itu.
“Alhamdulillah berkat dari kepakaran Dr Mustafa, Kak Ziana dapatlah menjalani kehidupan seperti biasa.
"Insya-Allah bebas dari gastrik dan tekanan darah tinggi Kak Ziana kembali normal,” katanya.
Kakak kepada penyanyi Anuar Zain itu berkongsi perkara berkenaan di akaun Instagram miliknya.
Menerusi perkongsian itu, dia memuat naik video yang menunjukkan perjalanannya melakukan rawatan berkenaan.
Sementara itu, Ziana sempat mengulas mengenai pembedahan dan rawatan bariatrik yang lebih dikenali antara kaedah menurunkan berat badan.
“Mungkin ramai yang berfikiran bahawa rawatan Bariatrik ini hanya untuk penurunan berat badan, sebenarnya ia juga boleh merawat penyakit gastrik, kolestrol dan diabetik juga.
“Rupa-rupanya banyak penyakit yang berpunca dari permasalahan perut. Bagi Kak Ziana yang penting kita kena cegah sebelum parah,” jelasnya.
Terdahulu, Ziana pernah mendedahkan dia mengambil suntikan kolagen pada wajahnya untuk kekal cantik.
*Artikel asal di Gempak