Ziana Zain fail cerai
Sinar Harian
April 6, 2018 23:36 MYT
April 6, 2018 23:36 MYT
RUMAH tangga penyanyi terkenal, Ziana Zain, kembali menjadi perhatian apabila wanita berusia 50 tahun itu dilaporkan sudah memfailkan penceraian.
Menurut laporan, penyanyi Madah Berhelah itu sudah memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam pada 3 April lalu.
Namun, menurut sumber, suaminya, Armin Zaharin, 53 tahun, tidak bersetuju untuk melafazkan cerai dan minta kes tersebut dibawa ke jawatan kuasa pendamai.
Ziana bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas apa-apa mengenai hasratnya untuk bercerai selepas 20 tahun mendirikan rumah tangga.
Peguam pemerhati Ziana Zain, Luqman Mazlan memberitahu, pasangan berkenaan sudah tidak tinggal sebumbung kerana menjalani tempoh jaminan selain tidak dibenarkan mendekati keluarga anak guamnya.
"Keadaan mangsa iaitu anak lelaki Ziana Zain yang dicederakan oleh Orang Kena Tuduh (OKT) masih dalam trauma," jelasnya.
Dalam pada itu, lapor mStar Online, Mahkamah Majistret Shah Alam menangguhkan penyerahan dokumen dakwaan Armin mencederakan anak lelakinya pada 25 Februari lalu.
Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menetapkan 15 Mei depan sebagai tarikh baharu serahan dokumen.
Mengikut pertuduhan, Armin didakwa dengan sengaja menggunakan rotan sehingga menyebabkan luka dan lebam ke atas anaknya di sebuah rumah di Denai Alam, dekat sini, di antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam pada 24 Februari lalu.
Armin ditangkap pada 2 Mac lalu selepas Ziana membuat laporan polis pada 27 Februari lepas.
Pada 8 Mac lalu, mahkamah menerima permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Tharih Afendi untuk meminda pertuduhan kepada Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.
Di bawah Seksyen 326A, Armin, 53, boleh dikenakan dua kali ganda tempoh maksimum atas sabitan kesalahan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Bagi Seksyen 324, jika sabit kesalahan dia berdepan dengan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan.
Armin dan Ziana bernikah pada 9 Mei 1998.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Muhammad Aiman, 18, dan Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.