Ziana Zain dedah anak-anak jalani rawatan psikiatri - Laporan
Madiha Abdullah
Mei 15, 2018 15:50 MYT
Mei 15, 2018 15:50 MYT
PENGHIBUR versatil, Ziana Zain mengesahkan keempat-empat orang anaknya kini mengikuti rawatan psikiatri susulan kemelut rumah tangga ibu bapa mereka.
Memetik laporan portal Berita Harian, Ziana mendedahkan dia terpaksa berbuat demikian selepas mendapat nasihat doktor yang prihatin akan tekanan yang dihadapi anak-anaknya yang kini sedang meningkat remaja.
"Saya selalu bertanya keadaan mereka kerana mereka nampak diam dan tidak banyak bercakap.
"Alhamdulillah, anak-anak mahu berkongsi masalah dan daripada situ baru saya tahu mereka sebenarnya tertekan," kata Ziana seperti dipetik dalam portal itu.
Cerita Ziana lagi, hatinya remuk apabila mendengar luahan anak-anak yang takutkan bapa mereka sehingga tidak mahu lagi makan bersama di luar, kerana bimbang dimarahi dan dilempar dengan kata-kata kesat.
Ziana memberitahu, dia nekad memohon cerai selepas 20 tahun bertahan dengan perbuatan suaminya, Armin Zaharin Ahmad Zambri, yang dikahwini pada tahun 1998.
Pada April lalu, Ziana memfailkan perceraian di Mahkamah Syariah Shah Alam selepas Armin dikatakan enggan melepaskannya secara baik.
"Saya simpan semua derita dalam hati. Saya selalu dinasihatkan agar mempertahankan rumah tangga dan tidak bercerita hal rumah tangga kepada orang luar.
"Tapi selepas 20 tahun, saya sudah tidak mampu lagi, apatah lagi melihat trauma yang dialami anak-anak," katanya.
Hasil perkahwinan dengan Armin, Ziana dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Aiman, 19 tahun, Muhammad Ammar, 14 tahun, serta pasangan kembar, Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9 tahun.
Dalam sebutan kes di Mahkamah Majistret Shah Alam pagi tadi, Armin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan sengaja menyebabkan luka dan lebam pada anak lelaki mereka, Februari lalu.
Bekas Ketua Pramugara sebuah syarikat penerbangan itu didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Denai Alam antara jam 8 malam hingga 10.30 malam 24 Februari lalu.
Sewaktu artikel ini diterbitkan, Astro AWANI kini sedang menunggu respon dari Ziana.
#anak
#Armin Zaharin Ahmad Zambri
#bercerai
#karier
#mahkamah
#Mahkamah Majistret
#remaja
#Ziana Zain