Zendaya dedah punca 'simpan' cerita cinta dengan Tom Holland

Agensi
Ogos 24, 2023 14:34 MYT
Zendaya cuba untuk mengekalkan seberapa sebanyak hal berkaitan peribadi di luar pengetahuan umum. - Instagram/Zendaya
ZENDAYA mungkin salah seorang selebriti paling terkenal di dunia, tetapi pelakon dan penyanyi itu melihat pentingnya menyimpan beberapa perkara daripada perhatian umum.
Salah satunya ialah hubungan cintanya dengan pelakon Tom Holland.
Dalam temu bual terbaharunya dengan majalah fesyen Elle, Zendaya mengakui walaupun dia ingin percintaan mereka kekal sebagai hak privasi, dia sedar status mereka sebagai selebriti tidak memungkinkan perkara itu.
"Sebahagian daripada hidup saya, saya terima, terdedah kepada umum. Saya tidak boleh menjadi selebriti dan menjalani hidup saya dan mencintai orang yang saya cintai seperti yang dilalui orang lain," katanya.
Walaupun begitu, Zendaya berkata dia masih cuba untuk mengekalkan seberapa sebanyak hal berkaitan peribadi di luar pengetahuan umum.
"Saya mempunyai kawalan ke atas apa yang saya pilih untuk dikongsi. Ini penting untuk ketenangan dan membiarkan sesuatu menjadi milik saya sendiri.
"Tetapi dalam masa yang sama, saya juga tidak takut untuk mengakui ia wujud.
"Anda tidak boleh bersembunyi. Itu tidak menyeronokkan. Saya sudah tahu bagaimana untuk menanganinya," katanya lagi.
Jun lalu, The Hollywood Reporter yang menemu bual Holland melaporkan bintang Spiderman itu sengaja menutup mulut berkaitan hubungannya dengan Zendaya.
"Saya mahu melindungi hubungan kami, dan saya mahu ia kekal begitu.
"Kami tidak fikir kami 'berhutang' (dengan peminat). Ini hak kami, dan ia tiada kaitan dengan kerjaya kami," kata Holland.
#Zendaya #Tom Holland #Hollywood #Spiderman
;