Zee Avi kahwini jejaka Jepun
Astro Awani
November 23, 2021 11:38 MYT
November 23, 2021 11:38 MYT
PENYANYI kelahiran Sarawak, Zee Avi mengesahkan dirinya telah selamat bernikah dengan seorang jejaka kelahiran Jepun, Kenji Matano.
"Ya saya sudah menikah dengan Kenji Matano pada 22 November 2021," katanya kepada Gempak.
Majlis pernikahan pasangan itu diadakan di sebuah surau di Ampang pada Isnin.
Gambar Zee Avi memakai baju kurung moden putih lengkap berselendang dengan inai di jari tular di media sosial.
Suaminya Kenji juga kelihatan segak menggayakan baju Melayu putih lengkap bersamping dan bersongkok.
Dia juga berkongsi video yang menunjukkan cincin di jari manisnya.
Terdahulu, menerusi Instagram Stories, Zee Avi atau nama sebenarnya Izyan Alirahman, 35, memuat naik sepotong video ringkas menyatakan sesuatu akan berlaku pada hari ini.
"Today is the day," katanya yang turut berkongsi kotak sesi soal jawab bersama pengikutnya, meminta agar meneka apakah yang dimaksudkannya.
Zee Avi yang mencipta nama di Amerika Syarikat sekitar tahun 2005 sebelum ini pernah popular menerusi lagu "Kantoi" dan sinonim dengan bakat bermain alat muzik ukulele.
Beliau merupakan penyanyi wanita Malaysia pertama berjaya menempa nama dalam carta Billboard Hot 200 Albums dan Billboard (Heatseekers Album).