Zamarul Hisham tidak halang minat anak ceburi bidang lakonon

Gempak
Januari 21, 2024 19:56 MYT
Zamarul Hisham (kiri) tidak menghalang anaknya Mohamed Kash Haiqal (kanan) untuk mengikuti jejak langkahnya dalam bidang seni. -Gempak
PELAKON Zamarul Hisham tidak menghalang anaknya Mohamed Kash Haiqal, 13, untuk mengikuti jejak langkahnya dalam bidang seni.
Zamarul atau nama sebenarnya, Zamarul Hisham Mohamed, 52, berkata dia tidak menafikan bahawa anaknya itu mampu menjadi pelapis dirinya setelah menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang lakonan.
“Insya-Allah kalau diizinkan dan kalau itu pilihan dia, itu yang dia minat saya sokong sahaja kerana dia memang minat ke arah itu, jadi saya tidak akan menghalang.
“Pada mulanya saya sukar nak lepaskan dia berlakon, tapi lepas saya nampak dia memang minat siap buat jadual dia sendiri, dah binding apa semua, jadi saya lepaskan jelah,” katanya ketika ditemui Gempak.
Zamarul berkata demikian ketika ditemui pada sidang media drama bersiri Pewaris Cinta yang diadakan di Grand Barakah Hotel, Ampang, pada Jumaat.
Berkongsi tentang permulaan karier anaknya itu, Zamarul berkata, Kash sebenarnya hanyalah ‘bidan terjun’ ketika digandingkan bersamanya di dalam sebuah drama.
“Dia ikut saya ketika dalam pengambaraan drama tersebut kemudian pengarah tanya kepada dia mahu atau tidak untuk berlakon dan dia jawab nak.
“Saya terkejut sebab biar betul dia nak berlakon,tapi saya benarkan sahaja kerana dia hanya berlakon sebagai anak saya,” katanya.
Mengulas lanjut tentang drama Pewaris Cinta yang bakal dibintangi oleh Kash sebagai watak Iman, Zamarul pada mulanya kurang yakin untuk memberikan kebenaran kepada Kash kerana difahamkan scene anaknya dikatakan sama banyak dengan watak hero dan tidak mahu banyak menyusahkan banyak pihak.
Bagaimanapun, berdasarkan potensi yang ditunjukkan Kash, Zamarul lega kerana anaknya itu dapat menunjukkan prestasi lakonan yang memuaskan.
“Scene first day, kami sekeluarga semua ikut teman dia untuk shooting saya dah berdebar tapi dia dah buktikan yang dia boleh buat sebab sebelum saya sempat ajar dia dah buat scene yang saya akan buat kalau saya kat tempat dia.
“Saya tak ajar dia berlakon, saya hanya ajar dia intonasi, bagaimana untuk cari mood, tapi alhamdulillah dia boleh buat. Tidak lah bagus tapi benda itu ada, kena groom lagi,” ujarnya.
Bagaimanapun, Zamarul tetap menegaskan bahawa pelajaran lebih penting untuk anaknya itu dan hanya akan membenarkan Kash untuk berlakon semasa cuti sekolah.
“Habis drama ini (Pewaris Cinta) saya tak bagi dia berlakon. Misal kata tawaran datang sebelum cuti sekolah saya tidak akan benarkan, saya akan benarkan hanya semasa cuti sekolah, saya percaya dengan rezeki.
Drama bersiri ini juga turut dibintangi oleh Zamarul yang akan memegang watak sebagai Zahiril.
Pewaris Cinta turut membariskan pelakon hebat lain seperti Fezrul Khan, Rita Nadira, Kartina Aziz, Fauziah Latiff dan ramai lagi dan bakal ditayangkan 22 Januari ini di Astro Ria (Slot Tiara). -Gempak
#Zamarul Hisham #Mohamed Kash Haiqal #bidang lakonan #Pewaris Cinta
;