Zamani oh Zamani ... harap tabah hadapi derita penyakit autoimun
Raja Hisyam Raja Zaid
April 17, 2021 11:00 MYT
April 17, 2021 11:00 MYT
MELIHAT kelibat Zamani Slam ketika ini, pasti ramai yang tidak menjangka insan yang pernah menghiburkan masyarakat dengan suaranya yang lunak kini menderita menghidap penyakit.
Sosok tubuh yang dahulunya megah beraksi di atas pentas kini berjalan dalam keadaan membongkok akibat penyakit autoimun multiple sclerosis (MS) kronik yang dihidapinya.
Keadaan ini dipercayai menyukarkan pergerakannya sehingga dia kelihatan terbongkok-bongkok apabila berjalan.
Namun bagi pemilik suara emas yang sinonim dengan lagu "Gerimis Mengundang" ini, bukan simpati yang dipinta.
Sebaliknya dia memilih untuk berusaha keras bagi mencari sesuap nasi buat keluarganya.
Bukan menagih simpati, Zamani berkata prinsip hidupnya tidak mahu menjadi beban kepada orang lain.
Difahamkan penyakit itu dialami sejak kecil, namun kata Zamani sejak 2015, keadaannya semakin kronik.
“Kalau ikutkan memang dah sepatutnya kena melakukan pembedahan. Namun, insya-Allah saya usaha mana yang mampu dahulu.
"Buat masa ini, bukan saya tidak mahu bantuan, saya sangat menghargai tawaran yang diberikan, namun saya lebih suka jika diberi bantuan dalam bentuk tawaran menyanyi,” kata Zamani ketika dihubungi Astro AWANI, baru-baru ini.
Menurut Zamani, sakitnya itu akan lebih ketara setiap kali dia berjalan.
Buat masa ini, Zamani, 50, hanya mengharapkan rawatan alternatif dua minggu sekali dengan kos di antara RM250 dan RM300 bagi setiap sesi.
“Insya-Allah bila sampai masanya kalau saya betul-betul perlukan bantuan saya akan terima dan beritahu,” kata Zamani lagi.
Menurutnya, tawaran menyanyi masih ada, namun dengan keadaan yang dialaminya sekarang, karier nyanyiannya turut terjejas.
Sebelum ini, ada dakwaan yang mengatakan dia sengaja menolak sebarang bantuan dari rakan-rakan yang prihatin.
“Ini tidak benar, bukan begitu. Namun, saya mahu berusaha selagi mampu.
"Dakwaan yang mengatakan ada hospital swasta atau doktor yang pernah menawarkan rawatan secara percuma, tawaran pertolongan yang dihulurkan adalah dalam kalangan peminat,” tambahnya.
Zamani turut menolak dakwaan bahawa dia sengaja menafikan sebarang bantuan yang ingin dihulurkan kepadanya.
Tidak sesekali niatnya untuk menolak keprihatinan yang dipamerkan peminat, namun dia menyedari hakikat bahawa dia mampu berdikari.
Menurut Zamani, sakit yang dialaminya itu turut menjejaskan tahap persembahannya.
"Memang agak terasa dan terkesan juga dengan tahap nyanyian saya namun ia tidak terlalu teruk,” katanya.