Zamani mengaku tidak bersalah
Astro Awani
Januari 29, 2015 17:26 MYT
Januari 29, 2015 17:26 MYT
Bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani Ibrahim, 43, dan pembantu peribadinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memiliki dan mengambil dadah, minggu lalu.
Zamani dan Nur Juliana Abdul Rani, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman.
Mengikut pertuduhan, penyanyi yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang itu dan Nur Juliana didakwa bersama-sama dalam milikan mereka dadah jenis heroin anggaran berat 1.20 gram di sebuah rumah di Jalan Enggang Timor 1, Taman Keramat dekat sini, pada 12.30 malam, 21 Januari 2015.
Manakala bagi pertuduhan mengambil dadah yang dibacakan berasingan, Zamani didakwa telah memberikan kepada dirinya dadah jenis morphine di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 2 pagi, tarikh yang sama.
Manakala Nur Juliana didakwa melakukan perbuatan yang sama dengan memberikan kepada dirinya dadah jenis amphetamine pada 2.05 pagi di tempat dan tarikh yang sama.
Mahkamah kemudian membenarkan mereka diikat jamin masing-masing RM6,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mac ini untuk sebutan kes.