Zainal Abidin, Ujang Exists bakal kongsi ilmu di festival muzik Sabtu ini

Astro Awani
Disember 5, 2024 12:45 MYT
Buat julung-julung kali, Festival of Drum and Percussion Malaysia dianjurkan Sabtu ini khusus bagi mendedahkan generasi muda mengenai kehebatan seni muzik dan penggiat muzik tanah air.
KUALA LUMPUR: Buat julung-julung kali, Festival of Drum and Percussion Malaysia dianjurkan Sabtu ini khusus bagi mendedahkan generasi muda mengenai kehebatan seni muzik dan penggiat muzik tanah air.
Festival of Drum and Percussion Malaysia merupakan sebuah festival muzik yang penuh dengan warna-warni, membawa bersama pelbagai alat muzik dram, gendang dan perkusi, demi mencipta irama dan bunyi (rhythm & sound) yang merangkumi berbilang budaya dan harmoni.
Acara yang akan berlangsung selama satu hari itu akan menyaksikan pelbagai agenda yang diatur khususnya persembahan drum dan percussion termasuk sesi interaktif, bengkel dan klinik dalam pelbagai genre dan persembahan drumline.
Tidak ketinggalan Gala Konsert "All-Star Show" bakal menjadi acara kemuncak yang akan berlangsung di Dewan Budiman, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor.
Antara artis dan pemuzik yang terlibat dalam cara muzik terbesar ini termasuk Arthur Kam, Batteryheadz Percussion, Datuk Zainal Abidin, Kamrul Hussin, Lola, XPDC, Pa'ang Zaman, Rie Tsuji, Sān Percussion, Steve Thornton, Gong, Ujang Exists dan beberapa pemuzik jemputan lain.
Menurut pemain gitar tersohor tanah air, Aznan Alias, Festival of Drum and Percussion Malaysia wajar dihadiri oleh semua golongan terutamanya peminat muzik tanah air acara ini kerana ia menghimpunkan pemuzik-pemuzik hebat dan terkenal.
“Saya yakin bahawa agenda utama festival ini merupakan bengkel dan klinik yang diadakan. Ini merupakan peluang terbaik untuk penonton, peminat muzik dan pelajar untuk mendapatkan infomasi terbaik, bertanya dan berdepan secara terus, sebuah acara ‘up close and personal and intimate’, kata Pengarah Muzik seniman tersohor, Datuk M Nasir ini.
Festival ini, jelas Aznan, menawarkan lapan klinik buat mereka yang mahu menelaah ilmu muzik.
Bagi Fly Halizor pula, acara ini disifatkannya berupaya melebarkan rangkaian kepada mereka yang mahu menjadikan muzik sebagai karier.
“Para pengunjung terutamanya peminat muzik tanah air akan dapat belajar ilmu muzik dengan pelbagai jenis genre. Malah dapat mempelajari ilmu baru sambil berhibur dengan konsert yang padat dengan pemuzik dan penyanyi profesional Malaysia,” ujar Fly yang juga pemain bass dan pensyarah muzik.
Sementara Pa’ang Zaman yang juga pemain perksusi terkenal Malaysia dalam nada seloka menyenaraikan dua sebab kenapa festival ini perlu dihadiri.
Katanya: : Sebab ada Ujang Exists dan ada Pa’ang Zaman.”
Bercerita lanjut mengenai Festival of Drum and Percussion Malaysia, pemain keyboard dan penggubah muzik Rie Tsuji menyatakan rasa terharunya kerana menjadi sebahagian daripada pasukan festival yang julung-julung kali diadakan ini.
“Saya dan beberapa pemuzik akan membawakan lagu Sakura, sebuah lagu tradisional Jepun. Saya juga menyusun semula lagu Imagine oleh John Lennon. Bunyinya akan berbeza. Kita juga ada tetamu istimewa,” ujar Rie berkongsi keterujaannya.
Sementara itu, pemuzik ternama, Ujang Exists yang disenaraikan sebagai ‘most wanted musician in Malaysia’ menggalakkan semua peminat muzik tanah air untuk melihat persembahan yang bakal diadakan oleh para pemuzik di malam Gala Konsert "All-Star Show" itu kelak.
“Jangan lupa untuk hadir ke ‘Showcase & Drum Clinics’ untuk menimba pelbagai ilmu dan berbagi pengalaman secara ‘live’ dengan pemuzik Malaysia.
“Saya dan beberapa pemuzik lain akan bergabung untuk memberikan persembahan menarik untuk slot persembahan kami. Saksikan sesuatu yang berlainan dari Ujang & Friends untuk persembahan malam gala itu nanti. Pasti lain dari yang lain!” janji Ujang yang juga antara pengasas band popular, Exists.
Menurut Jin dari JS Music yang juga penganjur festival, objektif utama acara ini ialah untuk mempromosikan seni drum dan perkusi.
Tidak ketinggalan, festival ini juga menyumbang kepada industri kreatif Malaysia selain meningkatkan kesedaran tentang kepelbagaian alat perkusi dan teknik melalui ceramah, bengkel dan persembahan.
Festival ini akan berlangsung pada Sabtu ini (7 Disember) di Dewan Seri Budiman UiTM Shah Alam, Selangor bermula dari 10 pagi sehingga 11 malam.
Gala Konsert All-Star Show akan berlangsung pukul 8.45 sehingga 11 malam.
Untuk menyertainya, penganjur menawarkan dua kategori tiket iaitu Festival Pass dan Tiket Konsert yang dijual kepada pengunjung.
“Pemegang "Festival Pass" akan dapat menikmati keseluruhan Festival, termasuk makan malam yang disediakan.
“Tiket konsert pula sesuai untuk sesiapa yang hanya berminat untuk menyaksikan Gala Konsert sahaja,” ujar Jin lagi.
Tiket-tiket boleh didapati menerusi jualan di https://jsdrumfest2024.ubertickets.asia, manakala maklumat lanjut boleh diakses di halaman https://jsmusic.my/pages/festival-of-drums-and-percussion-malaysia-2024.
#Festival of Drum and Percussion Malaysia #Ujang Exists #Zainal Abidin #Steve Thornton
;