Zainal Abidin, Ning, Hujan, Bunkface kongsi pentas di DFP Seni Fest 2014
Azyyati Ahmad
September 9, 2014 09:50 MYT
September 9, 2014 09:50 MYT
Zainal Abidin, Ning Baizura, kumpulan Hujan dan Bunkface bakal berkongsi pentas buat pertama kalinya bagi memeriahkan Konsert Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Seni Festival 2014.
Selain mereka, beberapa penyanyi dari pelbagai genre muzik seperti Indie, pop, rock sehingga Jazz akan turut serta membuat persembahan di pentas dewan berprestij itu.
Festival ini akan membuka tirainya pada 16 Sept dan akan berakhir pada 21 Sept, mempersembahkan dua konsert bercorak ‘unplugged’, satu konsert Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) serta sebuah pameran sepanjang minggu.
Menurut Pengarah Bahagian Pengurusan Pemasaran dan Perniagaannya, Carl Selvarajah, festival kali ini memberikan kelainan terutamanya persembahan artis dari pelbagai jenis muzik dalam bentuk akustik.
“Gabungan penyanyi dari jenis muzik yang berbeza ini sebenarnya satu kelainan yang sering kita bawa setiap tahun, ini sekaligus memberi peluang kepada peminat-peminat artis itu sendiri merasai kelainan persembahan mereka di DFP secara unplugged,” kata Carl di satu sidang media yang berlangsung pada Isnin di sebuah hotel di ibu negara.
Kata Carl lagi, kod berpakaian ke DFP juga kali ini dilonggarkan dengan membenarkan penonton yang hadir memakai seluar jeans.
Sementara itu, penyanyi evergreen Zainal Abidin berkata, dirinya berasa teruja kerana diberi peluang bersama-sama penyanyi yang belum pernah bekerjasama serta mengakui persembahan ini adalah satu cabaran buatnya.
“Saya gembira diberi peluang untuk turut serta di DFP Seni Fest kali ini dan buat pertama kali membuat persembahan dengan Hujan dan Bunkface.
Pada masa yang sama, membuat persembahan di DFP adalah sesuatu yang menakutkan, we can’t afford any mistake, namun saya ambil ianya sebagai satu cabaran,” kata Zainal yang bakal membawakan tiga lagu hitnya secara akustik iaitu Hijau, Khayalan dan Ikhlas Tapi Jauh.
Selain Zainal, beberapa artis seangkatannya seperti Jay Jay dan Fredo akan turut membuat persembahan.
Bagi Sam pula, dia berasa bangga kerana dijemput untuk bersama artis-artis senior yang lain pada festival kali ini.
“Apa yang penting, semua artis yang dijemput adalah artis tempatan.
Saya tidak sabar sebenarnya bila nanti dapat berkongsi peminat bersama artis-artis senior yang lain,” kata Sam di sidang media yang sama.
DFP Seni Fest 2014 terbahagi kepada tiga konsert iaitu Akustika 1, Akustika 2 dan orkestra tradisional.
Akustika 1 berlangsung pada 16 Sept bermula 3:30 petang, menampilkan artis/kumpulan ‘indie’ seperti: OAG, Man Kidal, Andy Flop Poppy, Az Samad, Diandra Arjunaidi, Bassment Syndicate, Seven Collar T-Shirt, dan Monoloque.
Manakala pada konsert Akustika 2 dijadualkan pada 20 Sept akan menggabungkan beberapa artis terkenal seperti Hujan, Fredo, Jay Jay, David Gomes, Bunkface, Atilia, Ning dan Zainal.
Festival ini akan diakhiri dengan konsert MPO bertemakan Malaysia Tanah Airku pada 21 Sept jam 8.30 malam yang mempersembahkan lagu-lagu patriotik dan tradisional yang digubah semula.
MPO bakal dipimpin oleh Jason Lim dan akan berkolaborasi dengan penyanyi-penyanyi tersohor seperti Datuk M Nasir yang akan membawakan lagu Bonda, Datuk Yusni Hamid (Tinggallah Mustika Hati), Nassier Wahab (Warisan) dan Datin Alyah (Joget Kenangan Manis).
Penganjuran DFP Seni Fest 2014 kali ke lima ini adalah bersempena sambutan Hari Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia 2014.
Tiket dijual pada harga RM120 untuk menyaksikan ketiga-tiga konsert.
Untuk sebarang tempahan atau maklumat lanjut boleh hubungi 03-20517007 atau layari www.mpo.com.my.
#Bunkface
#Dewan Filharmonik Petronas (DFP)
#hujan
#Ning Baizura
#Orkestra Filharmonik Malaysia
#Seni Festival 2014
#Zainal Abidin