Zack Idris meninggal dunia
Sinar Harian
Julai 28, 2023 21:57 MYT
Julai 28, 2023 21:57 MYT
SHAH ALAM: Pelakon era 1990-an, Zack Idris dilaporkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam pada petang Jumaat.
Zack atau nama sebenarnya Mohd Idris menghembuskan nafas terakhir pada usia 53 tahun selepas dikejarkan ke hospital akibat muntah dan pitam.
Berita tersebut disahkan bekas isterinya, Aliza Rafar sebagaimana dilaporkan sebuah portal berita.
“Tadi, saya pulang ke rumah dari hospital dan sampai sahaja di rumah, lebih kurang waktu Asar, saya dimaklumkan bahawa arwah sudah tiada,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Zack mengadu pening kepala dan berasa mahu pitam sebelum dibawa ke hospital oleh anaknya. Allahyarham dimasukkan ke zon merah kecemasan dan diberi bantuan oksigen sebelum ditidurkan.
Ketika hayatnya, Allahyarham pernah terlibat dalam filem Johnny Bikin Filem pada tahun 1995, Penyair Malam (1998), Syukur 21 (2000), Black Maria (2003) dan Cendol: Kepada Allah Aku Berserah (2016). Beliau juga pernah membintangi teater Sultan Alauddin Riayat (2008).
Zack dan Aliza pernah berumah tangga selama 18 tahun, sebelum mengambil keputusan untuk bercerai. Mereka dikurniakan empat cahaya mata. - Sinar Harian