Yuna membidas pengkritik yang kata dia hanya 'sederhana'

Nailah Huda
Mei 19, 2019 09:20 MYT
Yuna membalas bahawa dia bangga dengan identitinya sebagai wanita beragama Islam dari Malaysia. - Instagram/Yuna
Untuk mencapai kejayaan sehingga ke tahap antarabangsa, semestinya seseorang itu pasti mendapat kritikan daripada beberapa pihak.
Sejak melancarkan muzik terbaharunya, Yunalis Mat Zara'ai atau lebih dikenali sebagai Yuna disifatkan oleh seorang pengkritik sebagai pemuzik 'sederhana' yang tidak akan diberi perhatian jika bukan kerana identiti uniknya sebagai warga Malaysia yang beragama Islam.
Membalas kritikan itu, Yuna dalam satu muat naik ke laman web Tidal menegaskan bahawa dia bangga dengan identitinya sebagai artis 'Malaysia-Amerika Muslim'.
Kata Yuna, kritikan tersebut dibuat menerusi blog muzik tempatan yang disifatkannya sebagai 'Pitchfork-wannabe'.
Pitchfork merupakan portal dalam talian dari Amerika Syarikat yang bertumpu kepada berita muzik.
Kenyataan Yuna itu dianggap sebagai reaksi kepada komen yang dibuat oleh laman web The Wknd yang membuat ulasan muzik tempatan.
Pada April 9, The Wknd memuat naik kompilasi ulasan beberapa muzik terbaharu, termasuk Forevermore oleh Yuna yang mendapat rating 4 daripada 10.
Mengulas mengenai lagu tersebut, seorang penulis bernama Azzief bersetuju dengan kenyataan bahawa "kesederhanaan Yuna tiada had".
Tambahnya, lagu itu "mudah dilupa" dan tidak akan menjadi popular jika bukan kerana identitinya.
Penulis tersebut turut berkata bahawa melodi syair disertakan dengan alunan kompang Melayu tradisional pada permulaan lagu Forevermore, seolah-olah sinikal kerana ia dihentikan serta-merta apabila lagu mula merancak.
Dalam ulasannya yang berjudul "Yuna is Not Just An Asian Musician", Yuna menegaskan bahawa dia tidak akan cuba untuk menyembunyikan identitinya sebagai wanita yang bangga berlatarbelakangkan asalnya dari Malaysia dan agama Islam.
"Apa-apa muzik saya cipta, semuanya datang daripada filem Bollywood pada waktu tengah hari, pantun klasik Melayu, kotak karaoke berlampu neon, 'rock kapak', seruan azan - dan seluruh dunia tiada pilihan selain untuk menerima saya seadanya," akhiri Yuna dalam tulisannya.
BACA: Kreativiti tahap maksima! Yuna gayakan sanggul lintang pada kulit album 'Rouge'
#Blank Marquee #Forevermore #hiburan #muzik #The Wknd #Yuna #Yunalis Zarai
;