Yuna dilantik sebagai duta media sosial MAS
Astro Awani
Mei 1, 2013 10:40 MYT
Mei 1, 2013 10:40 MYT
Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) mula memperluaskan sayap menerusi media sosial dengan pelantikan penyanyi dan pencipta lagu, Yuna sebagai duta syarikat itu bagi menembusi pasaran dalam dan luar negara.
Yuna dikatakan sebagai calon yang paling sesuai mewakili syarikat tersebut susulan kejayaannya menembusi pasaran Amerika Syarikat sebagai penyanyi sejak bernaung di bawah syarikat David Foster, Verve Records.
Menurut Ketua Pengiklanan dan Promosi MAS, Khairul Syahar Khalid, Yuna memenuhi segala ciri-ciri yang dicari dalam membantu syarikat mengecapi kejayaan menerusi media sosial.
“Dengan berkongsikan perjalanannya bersama kami dan jutaan peminatnya di media sosial, MAS yakin ia bakal memberikan inspirasi yang boleh menjadi ikutan golongan muda sekaligus seluruh rakyat Malaysia dalam mengejar impian dan mengharumkan nama negara,” katanya ketika berucap di majlis perlantikan Yuna di Publika, Bukit Hartamas.
Dalam pada itu, Yuna bakal memainkan peranan penting sebagai duta media sosial dimana beliau akan menerajui saluran youtube khusus atas penjenamaan MAS.
“Dengan saluran ini, penonton boleh melihat status Yuna sebagai seseorang yang kerap mengembara disamping melihat perkongsian beliau dalam perjalanan ke seluruh dunia. Peminat kini boleh menonton terus dari Amazing Journeys MAS di Youtube. Sementara itu, halaman Facebook dan Twitter MAS juga akan menyediakan ruangan ekslusif khas buat Yuna,” kata Khairul dengan teruja.
Sementara itu, hubungan MAS dan Yuna sudah terjalin sejak awal 2012 apabila penyanyi itu dipaparkan pada aplikasi MHbuddy sekaligus menggalakkan peminat dan pengguna telefon pintar memuat turun aplikasi berkenaan yang juga menawarkan perkhidmatan tempahan secara lansung menerusi saluran media sosial.
“Bagi MAS, sudah tiba masanya untuk syarikat memperluaskan capaiannya dengan menyertai rangkaian oneworld menggunakan media sosial untuk memperkukuhkan penjenamaan tulen khususnya tertumpu kepada para penumpang, ejen perlancongan, kakitangan syarikat ke arah membentuk wajah baru bagi MAS,” jelasnya.
Kehadiran MAS dalam arena media sosial telah berkembang pesat sejak langkah-langkah pertama diambil pada tahun 2012 terutama dengan pelancaran perdana baru A380. Pada tahun ini, induksi ke dalam perikatan oneworld bermula membombardir media sosial syarikat penerbangan itu dengan siaran khas secara langsung majlis pelancaran melalui Google+.
Pada tahun 2010, MAS telah diiktiraf untuk penglibatan aktif di media sosial dengan memenangi "Penggunaan Terbaik Media Sosial untuk Drive Pendapatan" anugerah di majlis sulung Simpliflying-Syarikat Penerbangan Kecemerlangan Perniagaan Sosial Anugerah Airlines Media.
Untuk maklumat lanjut berhubung MAS sila ikuti saluran disediakan: Google+ (Syarikat Penerbangan Malaysia), YouTube (MAStravel), laman Facebook Malaysia Airlines dan Twitter (@ MAS).