Yuna bangga dengan kemenangan Seri Puteri Symphonic Winds di Los Angeles
Muzaffar Mustapa
Jun 21, 2016 18:12 MYT
Jun 21, 2016 18:12 MYT
PENYANYI terkenal Malaysia yang kini sedang mencipta nama di Amerika Syarikat, Yuna nyata berbangga dengan kemenangan pasukan Seri Puteri Symphonic Winds yang memenangi Anugerah Emas di Festival Muzik Antarabangsa Los Angeles hari ini.
Berkongsi pengalamannya menonton persembahan pelajar-pelajar dari negara kelahirannya di Walt Disney Hall, Los Angeles, Yuna puas apabila melihat bakat-bakat muzik tempatan beraksi di negara asing.
Dalam satu video yang dikongsikan di Snapchat dan diulang kongsi di Twitter miliknya, penyanyi lagu Crush itu kelihatan tersenyum bangga dan seakan tidak percaya dengan bakat-bakat yang dilihatnya.
Lebih manis lagi apabila pasukan dari Sekolah Seri Puteri Cyberjaya itu berjaya membawa pulang Anugerah Emas dalam festival tersebut.
Dalam pertemuannya bersama pelajar-pelajar tersebut sehari sebelum pertandingan, Yuna turut menggesa agar dunia melihat kehebatan pelajar dari Malaysia itu.
Tweet yang dirakamkan turut disertakan dengan pautan kepada majalah Time dan New York Magazine serta hashtag #MuslimInMusic.
Yuna turut menambah bagaimana beliau turut menyanjungi usaha para pendidik yang menghargai bakat muzik yang ada pada pelajar mereka dan melihat bakat tersebut sebagai satu kualiti penting dalam hidup.
Beberapa bulan sebelum berangkat ke Los Angeles, pasukan Seri Puteri Symphonic Winds telah menganjurkan beberapa malam persembahan dan tayangan filem amal bagi mengumpul dana untuk menyertai festival tersebut.
Syabas kepada pasukan Seri Puteri Symphonic Winds!