YSD Arts Festival yang menggabungkan seni tradisional dan kontemporari ini diadakan di Pentas Seni KL atau Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).
Program dua hari ini meraikan lebih 200 acara seni kebudayaan seperti tarian tradisional sehinggalah kepada kelas penulisan skrip, teater boneka (5-10 tahun) dan kelas mencipta lagu yang boleh disertai secara percuma.
Lengkap dengan persembahan tradisional dari setiap negeri di Malaysia, festival ini turut mengetengahkan budaya negara yang kian dilupakan seperti Kuda Kepang dari Johor, Wayang Kulit dari Kelantan, Sumazau dari Sabah yang dikelolakan oleh organisasi seni tradisi, PUSAKA.
YSD Arts Festival bertempat di KLPAC, 13-14 Sept, 10 pagi hingga 8:30 malam, kemasukan percuma
Menurut Pengurus Projek YSD, Arifah Sharifuddin, ini merupakan kali pertama YSD menganjurkan acara seumpama ini yang diilhamkan oleh Pengerusi YSD sendiri, Tun Musa Hitam.
“Ini kali pertama YSD terlibat dalam menganjurkan acara seni dan kami amat bertuah kerana KLPAC sudi bekerjasama dalam menguruskan keseluruhan festival.
"Idea penganjuran festival seni ini datang daripada Tun Musa Hitam yang melihat negara kaya dengan bakat-bakat tempatan yang memerlukan platform seperti festival sebegini dalam mengetengahkan dan mempamerkan keistimewaan mereka” jelas Arifah.
Kelas teater boneka untuk kanak-kanak 5-10 tahun turut diadakan.
Sementara itu, dalam acara sama, YSD Arts Festival turut menayangkan beberapa filem menarik daripada pengarah tersohor, Allahyarham Yasmin Ahmad.
Ini adalah bagi menghargai hasil kerja Allahyarham yang selama ini menjadi inspirasi bagi kebanyakan penggiat seni Indie.
Selain filem Yasmin, sebanyak 12 filem pendek daripada pengarah filem Indie Malaysia akan turut ditayangkan sepanjang acara.
MonoLoque antara artis yang akan membuat persembahan di Malam Gala YSD Arts Festival
Menurut Pengarah Produksi YSD Arts Festival, Ian Chow, selain filem dan tarian, festival ini turut mengadakan pameran lukisan, kraftangan dan banyak lagi.
“Di Panggung PUSAKA kami akan menampilkan seni tradisional dari 14 buah negeri di Malaysia.
"Kepada yang hadir pada hari ini, anda boleh menyertai lebih lima acara atau anda boleh sertai ‘open mic stage’ untuk tunjukkan bakat” kata Ian.
Tambah Ian, acara-acara di YSD Arts Festival adalah berbeza sepanjang dua hari ia dianjurkan bermula jam 10 pagi setiap hari dengan acara kemuncak pada jam 8.30 malam.
“Jangan lepaskan peluang memenuhi hari minggu anda dengan pelbagai aktiviti seni di sini, kerana program yang dianjurkan pada hari pertama takkan diulang pada hari kedua,” jelas Ian.
Pada acara kemuncak esok, akan diadakan Malam Gala yang akan menampilkan artis terkenal seperti Datuk Sheila Majid, Zainal Abidin, Monoloque, Liyana Fizi, Ali Aiman dan ramai lagi.