YouTuber ini dikecam teruk selepas menzalimi anjingnya sendiri
Agensi
Ogos 2, 2019 18:51 MYT
Ogos 2, 2019 18:51 MYT
SEORANG YouTuber dari Korea Selatan menerima kritikan hangat dan mungkin dikenakan hukuman atas tingkah lakunya menerusi satu siaran langsung di laman media sosial berkenaan.
Dengan pengikut seramai 37,000, YouTuber yang dikenali sebagai Suh itu telah mengejutkan orang ramai selepas memukul dan melontar anjing peliharaannya.
Selain itu, dia juga telah dituduh melakukan keganasan terhadap haiwan dalam siaran beberapa kali baru-baru ini.
Ekoran itu, pegawai polis segera menyerbu ke rumah Suh selepas menerima laporan daripada penonton, walau bagaimanapun pegawai tersebut meninggalkan rumah itu tanpa mengambil sebarang tindakan selepas Suh menafikan dirinya telah memukul anjing itu.
Selepas polis beredar, YouTuber berkenaan mengejek penontonnya dengan berkata: "Polis tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka tidak dapat menghalang saya daripada melatih anjing saya sendiri."
Suh juga mempertikaikan tentang ketidakcekapan undang-undang hak asasi di Korea.
"Undang-undang perlindungan haiwan tidak memberikan apa-apa makna. Tiada siapa yang akan dihukum kerana penderaan haiwan," kata Suh lagi.
Berhubung kepada kejadian itu, satu petisyen dalam talian menyeru pihak berkuasa untuk menghukum lelaki berkenaan sekiranya dapat memperoleh 120,000 tandatangan dalam masa empat hari selepas dia dilihat menzalimi anjingnya dalam video siaran langsung di YouTube.
Petisyen tersebut telah difailkan di laman web pejabat Presiden pada hari Isnin dan akan disemak oleh pertubuhan Cheong Wa Dae (pejabat Presiden Korea Selatan) jika melebihi 200,000 tandatangan dalam tempoh sebulan yang difailkan.
Dengan jumlah tanda tangan yang semakin meningkat, Suh sekali lagi membuat strim video secara langsung pada Rabu dan meminta maaf kepada orang ramai.
"Saya membuat kesilapan besar. Tidak sesuai untuk mendidik anjing saya dengan memukulnya. Saya tidak menyedari ia begitu salah sehingga berita itu keluar," kata Suh lagi.
Dalam siaran langsung itu juga, dia berasa takut kerana seluruh negara membuat ugutan bunuh terhadapnya dan menyangka semua akan berakhir sekiranya di mati.
Dia turut menyatakan dirinya akan menerima hukuman yang sewajarnya dan menyumbangkan 5 juta Won (RM17,338) kepada organisasi hak asasi manusia.
Kes penderaan haiwan Suh kini sedang disiasat oleh pihak polis Michuhol di Incheon.