Yngwie Malmsteen janji kejutan dalam konsert sulung di Kuala Lumpur
Soffian Zainuddin
September 28, 2018 20:07 MYT
September 28, 2018 20:07 MYT
PEMAIN gitar legenda dari Sweden, Yngwie Malmsteen menjanjikan keterujaan dan kejutan buat peminatnya dalam konsert sulung di ibu negara malam esok.
Gitaris tersohor yang sinonim dengan teknik 'shredder' ini bakal tampil buat julung kalinya di pentas Malaysia pada Sabtu di Menara PGRM, Cheras.
Istimewa buat peminat tempatan, Malaysia menjadi satu-satunya lokasi konsert beliau di Asia Tenggara.
Pada sidang media di Panggung Asia, Gombak petang tadi, ketika ditanya jangkaan buat kira-kira 5,000 peminat yang bakal membanjiri konsertnya esok, jawapannya ringkas, “100 peratus keterujaan.”
Menjelas lanjut, Malmsteen yang tiba di ibu kota semalam berkata persembahan yang ditampilkannya berbeza antara satu dengan yang lain.
“Saya suka mencabar diri saya. Saya tak pernah bermain muzik dengan cara yang sama.
“Ketika buat persembahan di Eropah tiga malam berturut-turut, saya mainkan lagu yang sama, tapi saya tak mainkannya dengan cara yang sama.
“Jadi konsert esok ialah satu kejutan, bukan saja kepada peminat, malah diri saya sendiri.
“Saya sendiri pun tak tahu apa saya akan buat; dan saya takkan beritahu sebab nanti ia bukan lagi kejutan,” kata Malmsteen.
Jika anda menantikan kehadiran Jeff Scott Soto atau Joe Lynn Turner untuk mengiringi persembahannya esok, Malmsteen sebenarnya sudah tidak lagi menggunakan khidmat vokalis seperti dahulu.
Sebaliknya gitaris legenda ini sendiri akan menyanyikan lagu-lagu popular di atas pentas.
“Mereka (vokalis terdahulu) tak penting bagi saya. Sekarang saya yang nyanyikan sendiri.
“Saya yang gubah lagu, saya yang tulis lirik, saya buat segalanya. Hanya kerana seorang itu jadi vokalis, tak bermakna dia lebih penting daripada pemain bass, dram, atau pemain keyboard.”
Ditanya tentang projek seterusnya, beliau menjawab sedang merangka untuk menerbitkan sebuah album berentak blues.
Butirannya… satu lagi kejutan buat peminat heavy metal. Mungkin itu antara lagu yang akan dipersembahkannya esok, siapa tahu.
Melalui pencarian di laman video YouTube, aksinya memetik gitar irama blues bukan sesuatu yang baharu, malah video beliau memainkan irama itu telah berada di internet sejak lebih 10 tahun lalu.
Pada sesi ‘meet-and-greet’, Malmsteen meluangkan masa hampir sejam melayan peminat yang menunggu giliran mendapatkan autografnya.
Antara gitaris terkenal tempatan yang hadir termasuk Man Kidal dan Rody Kristal.
Tergolong antara 10 pemain gitar terbaik dunia sepanjang zaman, kehebatan Malmsteen bermain gitar sering menjadi igauan namun tidak ramai dapat menyaingi kemampuannya.
Menggabungkan elemen muzik klasik dengan kelajuan dan kelantangan irama ‘heavy metal’ menjadikan beliau antara pujaan peminat heavy metal pada era 80-an.
Bagi yang belum mendapatkan tiket, anda masih berpeluang berbuat demikian. Namun, perlu diingat, tempat adalah terhad.
Tiket boleh dibeli melalui laman web TicketPro.