Yayasan Nurjiwa bantu lebih 10,000 rakyat Palestin setiap hari
Madiha Abdullah
Mac 27, 2024 09:00 MYT
Mac 27, 2024 09:00 MYT
KUALA LUMPUR: Yayasan Nurjiwa yang diasaskan oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, berjaya membantu lebih 10,000 masyarakat Palestin setiap hari.
Justeru, Siti meluahkan penghargaan kepada orang ramai yang menghulurkan sumbangan, sekali gus membolehkan pihaknya memberikan bantuan.
"Bercakap tentang Gaza, hampir RM1 juta kita sudah sumbangkan untuk membantu penduduk di sana. Saya sering berhubung dengan wakil di sana yang berada di Rafah, mereka terharu dan berterima kasih kerana kita mampu salurkan bantuan makanan buat mereka, setiap hari (untuk) lebih 10,000 orang.
"Ini rezeki saya dan suami, serta seluruh rakyat Malaysia yang menderma dan sama-sama melakukan amal kebajikan," katanya ketika menyampaikan ucapan dalam majlis Iftar Nurjiwa Prihatin, pada Selasa.
Majlis iftar itu yang merupakan kerjasama strategik bersama Yayasan Prihatin Nasional, meraikan lebih 500 tetamu, termasuk 60 orang anak yatim dari Rumah Anak Yatim Permata Hatiku dan Rumah Pendidikan dan Kebajikan Al-Firdaus, serta 40 ibu tunggal dari Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (GERAKWANIS) dan Pertubuhan Negarawati Tanah Air (NEGARAWATI).
Selain itu, turut disantuni dalam majlis berkenaan ialah golongan penggiat seni veteran termasuk Zaiton Sameon, Ali XPDC dan Fredo (Flybaits).
Sumbangan yang disampaikan berbentuk wang tunai, pakaian dan kotak makanan bagi keperluan Ramadan dan Aidilfitri.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Aizuddin Ghazali, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Yayasan Nurjiwa, yang dilihat akan membantu mempergiatkan lagi usaha dan program kebajikan pada masa hadapan.
"Kami di Yayasan Prihatin nak membantu seramai mungkin mereka yang memerlukan. Saya cukup teruja dengan program yang dibuat oleh Yayasan Nurjiwa, sampai ke Palestin, ribuan ringgit menggunakan dana yang diterima daripada pihak luar dan saya yakin dari poket sendiri juga banyak dikeluarkan.
"Saya banyak berbincang dengan Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa, bagaimana lagi kita nak bantu rakyat Palestin. Kalau kita lihat, sekolah yang ada di Palestin pun telah musnah dibom.
"Dengan kerjasama kali ini, apa saluran yang kami dapat, akan dikongsi dengan Yayasan Nurjiwa supaya kita sama-sama dapat membantu lebih ramai lagi," katanya.