'Yang suka, suka, tak suka tak apa' - Shiha Zikir dah maafkan rakan selebriti
Gempak
Mei 31, 2022 17:09 MYT
Mei 31, 2022 17:09 MYT
PENYANYI dan pelakon, Shiha Zikir enggan mengulas lanjut mengenai selebriti yang didakwa memperkecilkan bakatnya dalam dunia lakonan.
Menurut Shiha, dia sudah pun memaafkan individu tersebut dan sekali gus mahu melupakan perkara itu.
“I have no comment, saya dah berjanji dengan keluarga saya. Biar Tuhan sahajalah yang tahu. Mungkin dia tak ada niat apa-apa, mungkin saya yang touching.
“Mungkin juga saya yang mudah terasa… Saya sensitif orangnya, nampak happy go lucky tapi sangat berdendam orangnya. Suka simpan, hati tisu.
“Saya tak nak komen apa-apa. Saya percaya, dia tiada niat sebab dia orang yang sangat baik,” katanya kepada Gempak.
Shiha ditemui selepas sidang media AME2021 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad.
Bagaimanapun kata Shiha, dia tidak menyalahkan mana-mana pihak sebaliknya meletakkan segala kesalahan ke atas dirinya.
“Bila fikir balik saya rasa saya yang cepat terasa kot? Saya rasa, sebab kadang-kadang bila orang terlalu outspoken dengan saya, kadang saya terlupa mungkin orang tu selesa sangat dengan saya.
“Setiap benda negatif yang terjadi saya letak benda itu dekat saya, mungkin salah saya. Cepat terasa dan saya percaya dia tiada niat.
“Benar, saya telah memaafkan dia. Saya tidak mahu simpan apa-apa, dengan sesiapa pun saya tak nak.
“Sama ada orang yang saya kenal ke, mereka di media sosial ke saya tak akan simpan dalam hati.
“Saya maafkan semuanya dengan sepenuh hati saya. Yang mana suka terima kasih banyak-banyak, yang tak suka tak mengapa,” ujarnya.
AME2021 yang dihoskan oleh Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad ini menyaksikan Shiha dinobatkan sebagai Top Top MeleTOP Wanita.
Secara keseluruhan Shiha memenangi lima trofi menerusi kategori Artis Versatil MeleTOP, Bintang Filem MeleTOP menerusi filem Hantu Bonceng, Duo/Berkumpulan MeleTOP, Lagu MeleTOP bersama Noki K-Clique menerusi AEWO dan Top Top MeleTOP Wanita.
Terdahulu, Shiha mendedahkan pernah menerima teguran daripada seorang pelakon senior yang meragui bakatnya di hadapan kamera.
Paling memalukan apabila Shiha memberitahu dia telah ditegur di hadapan orang ramai namun mengambil keputusan mendiamkan diri dan enggan mendedahkan siapa gerangan pelakon tersebut.
*Artikel asal disiarkan di Gempak