Yang mana satu iklan raya pilihan anda?
Syafique Shuib, Shamil Hizamie
Julai 16, 2015 17:01 MYT
Julai 16, 2015 17:01 MYT
Bulan Ramadan hampir tiba ke penghujung, begitu juga ibadah puasa umat Islam yang bakal berakhir. Sepanjang Ramadan, rakyat Malaysia diserikan dengan bermacam iklan Hari Raya Aidilfitri dari pelbagai organisasi di Malaysia.
Lazimnya suasana sedih, gembira dan lucu boleh menjadi latar cerita iklan-iklan hari raya.
Satu ketika dahulu, iklan raya Petronas pastinya ditunggu-tunggu dan dianggap sebagai penanda aras.
Pada tahun ini iklan-iklan Aidilfitri tidak kurang hebat lantaran kebanyakannya menyelitkan mesej, pengajaran dan nasihat yang boleh diterapkan dalam kehidupan seharian.
Berikut merupakan lima pilihan iklan raya yang menarik:
Astro - Tiada Noktah Untuk Kemaafan
Tiada Noktah Untuk Kemaafan memaparkan sebuah kisah benar mengenai seorang pesakit yang juga merupakan bekas penagih dadah bernama Herman dan bapanya.
Keunikan dan nilai pergertian iklan komersial ini terserlah dengan penampilan Herman sendiri yang ingin memohon maaf kepada bapanya, setelah sekian lama tidak berjumpa.
MyTeksi - Good Surprise Taxi and the Surprise Family Day
Tiga pemandu teksi yang dikenali sebagai Muszaidi, Hajar dan Jauriah dipanggil untuk berjumpa ‘VIP’. Namun mereka sebenarnya dibawa berjumpa keluarga masing-masing yang sedang menunggu di bilik berlainan.
Kejutan itu diiringi perasaan terharu dan bersyukur lantaran diberikan berpeluang berjumpa dengan kaum keluarga.
FINAS – Cuti Raya
Selama tiga tahun, cuti raya Amerul tidak diluluskan majikannya. Berita itu seringkali mengundang kesedihan kepada kedua orang tuanya.
Apabila cutinya diluluskan pada tahun 2015, Amerul tertanyakan reaksi yang bakal diterimanya lantaran ibunya dikatakan telah merajuk dan bersedih.
TM – Pak Cik Misteri
Azura seorang eksekutif muda yang agak kedekut. Sifatnya itu sering diperkatakan oleh rakan-rakannya. Apabila kehilangan dompet beserta kunci keretanya, Azura didekati seorang pak cik misteri yang menghulurkan bantuan.
Rasa bersyukur dan ingin tahu mendorong Azura untuk menjejaki semula pak cik yang menolongnya selain ingin mengucapkan terima kasih.
PTS Media Group - Kad Raya Syafiqa
Drama pendek ini berkisar mengenai seorang kanak-kanak bernama Syafiqa serta hubungan dengan gurunya Hayati.
Memainkan elemen kekeluargaan, Syafiqa telah memberi satu pengajaran yang sangat bermakna kepada Hayati walaupun usianya masih muda.
Bina Darulaman Berhad - Aidilfitri Commercial 2015
Helmi merupakan anak petani yang menyimpan impian untuk memberikan kehidupan yang lebih baik buat kedua ibu bapanya.
Selepas pulang dari melanjutkan pelajaran di United Kingdom, Helmi berselisihan dengan bapanya dan berlanjutan sehingga dia mendirikan rumah tangga dan mempunyai zuriat.
Naza TTDI - Bandar-Raya
Syarikat pemaju hartanah Naza TTDI tampil dengan tema kekeluargaan dengan "Bandar-Raya".
Ia mengikuti pasangan yang dibintangi AR Badul dan Raja Ema.
Oleh kerana kesibukan, anak mereka tidak dapat pulang. Pasangan ini terus ke bandar untuk beraya bersama anak, menantu dan cucu.
Namun, apabila tiba di rumah mereka, semua sibuk dengan hal masing-masing.
Iklan ini mengupas bagaimana pasangan ini dapat mengajar mereka tentang pentingnya hubungan kekeluargaan.
USM - Fitrah
Masih lagi dengan tema kekeluargaan, iklan Universiti Sains Malaysia (USM) menampilkan kisah Hussin yang kehilangan kedua ibu-bapa dan ahli keluarga.
Tanpa kampung dan orang tersayang, seorang rakan membawa Hussin pulang ke kampungnya untuk menyambut Hari Raya dengan keluarga baru.
Malaysia Airlines - FITRAH, A Malaysian Story
Bagi tema kesyukuran, iklan Raya Malaysia Airlines bertajuk "Fitrah" dan mengikuti perjalanan Yassin yang belajar tentang kesyukuran walaupun harus mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan.
TV3 - Menzahirkan Kebahagiaan #SyukurSelalu
Iklan TV3 bertajuk "#SyukurSelalu" dengan mesej kebahagiaan dapat dizahirkan oleh sekecil mana kurniaan illahi.
Tenaga Nasional - Sinar Baru
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menampilkan iklan bertajuk “Sinar Baru”. Mesej utama adalah tentang transformasi diri dan menjadi seorang individu yang sentiasa memperbaiki diri dan maju kehadapan.
Jabatan Imigresen Malaysia - Baju Raya Hitam
Jabatan Imigresen Malaysia tidak terkecuali dalam menghasilkan iklan Hari Raya.
Bertajuk “Baju Raya Hitam”, ia mengisahkan tentang pegawai-pegawai imigresen yang harus bertugas pada Hari Raya.
Ia merupakan satu pengorbanan yang harus dilakukan demi keselamatan negara.
JKKN - Potret Teristimewa
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak tampil dengan filem pendek dengan kisah seorang anak yang merindui ayah yang dipenjarakan.
Namun akhirnya mereka bersatu semula untuk menyambut Aidilfitri.
Maxis - Safe Mode dari Maxis & Waze
Sementara itu, Maxis dan Waze menampilkan iklan bertujuan untuk mengingati para pemandu untuk berhati-hati ketika memandu. Ia juga untuk mempromosi ciri Safe Mode Kids.
RTM - Inikan Raya
Stesen RTM menampilkan iklan bertajuk "#InikanRaya".
Pada mulanya sekumpulan anak-anak muda lebih selesa berada di rumah dengan peranti masing-masing. Membeli belah pun menerusi kedai atas talian.
Kemudian mereka diajak untu keluar dan menikmati kemeriahan membeli belah di ibu kota sebelum pulang ke kampung.
Jadi yang mana satu iklan kegemaran anda?