Yana Samsudin selesa jaga anak sendiri
Gempak
Disember 18, 2016 20:52 MYT
Disember 18, 2016 20:52 MYT
Demi untuk menjaga anaknya sendiri, pelakon dan pengacara Yana Samsudin akan membawa putera sulungnya itu ke mana sahaja dia pergi.
Yana berkata, dia akan sentiasa memastikan Aisy Mateen berada disisinya sama ada ke butik atau ke tempat kerja.
Ini kerana menurut Yana, dia lebih selesa menjaga anaknya sendiri berbanding menyerahkannya kepada pengasuh.
“Memang saya tiada pengasuh untuk menjaga Mateen, saya lebih rela buat sendiri walaupun kena ‘oustation’ luar dari Kuala Lumpur.
“Lagipun, Mateen masih menyusu badan dan dia perlukan ibunya sentiasa berada di sisi setiap kali tiba waktu menyusu.
“Mateen kalau nak menyusu memang saya kena dakap, dia tak mahu susu badan yang dimasukkan ke dalam botol.
“Itulah sebabnya saya kena bawa dia ke mana sahaja ketika saya tengah bekerja atau uruskan hal perniagaan,” kata Yana kepada Astro Gempak pada Majlis Aqiqah Aisy Mateen di Shah Alam.
Tambah Yana lagi, dia juga akan sentiasa mendapatkan nasihat doktor sekiranya tidak pasti sesuatu tentang penjagaan bayi.
Antaranya mengenai memangku anak dalam waktu yang lama di dalam kenderaan yang pernah menjadi viral suatu ketika dahulu.
Menurut Yana, doktor menjelaskan ia tidak memberi apa-apa masalah selagi pergerakan Mateen dapat dikawal dan sentiasa berada dalam keadaan yang selesa.
“Ayah saya yang risau, dia kata tak elok bawa anak jauh-jauh sebab asyik pegang saja tanpa membaringkannya di atas tempat yang selesa.
“Tapi doktor kata ia tidak memberikan apa-apa kemudaratan, yang paling penting saya kena ‘on time’ bagi susu.
‘Apa-apa pun, saya sangat seronok menjadi ibu dan perasaan itu sukar untuk digambarkan lebih-lebih lagi ketika menyusukan Mateen,” katanya.