Ya, memang saya ambil kesempatan terhadap isteri pertama Ude - Aliff Syukri
Gempak
Mac 16, 2018 16:15 MYT
Mac 16, 2018 16:15 MYT
USAHAWAN kosmetik yang kini bergelar penyanyi, Datuk Seri Aliff Syukri mengakui dia mengambil kesempatan terhadap madu kepada aktres Izreen Azminda, Intan Liana Saleh.
"Benar, memang saya mengambil kesempatan terhadap Intan ketika namanya sedang dikenali. Dia kini menjadi model untuk tudung keluaran saya, Aliff by Sha selama enam bulan.
"Namun begitu, saya tidak mengambilnya menjadi model secara percuma. Saya membayar perkhidmatannya sebagai model tudung saya dan memberikan dia peluang serta rezeki baru.
"Bayaran yang saya berikan juga lebih mahal, tidak sama seperti model biasa. Saya membayarnya dengan harga sama seperti artis. Intan juga memberikan impak yang baik terhadap produk saya," kata Aliff.
Tambah Aliff, Intan yang merupakan isteri pertama kepada pemuzik bebas Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude memberikan komitmen yang baik terhadap tugasnya sebagai model jenama tudung tersebut.
"Saya gembira kerana dapat mengenali Intan kerana dia sangat komited dalam menjalankan tugas. Dia mempunyai aura tersendiri dan boleh pergi jauh jika dia diberi peluang serta mahu memajukan diri," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Nur Sajat Rated Xtra.
Di majlis yang sama, Nur Sajat turut melancarkan single terbarunya yang berjudul Makhluk Penggoda. Aliff turut menyumbangkan suaranya di dalam lagu tersebut.
"Dalam lagu Abang Nak Tegur yang saya nyanyikan, Sajat telah membuat penampilan istimewa. Jadi, menerusi lagu Makhluk Penggoda nyanyian Sajat pula, tiba giliran saya pula. Saya berharap single ini akan mendapat sambutan baik ramai pihak," katanya.