XPDC Kita Pengyu kotakan janji bantu pengulas sukan Astro
Raja Hisyam Raja Zaid
Jun 23, 2024 16:45 MYT
Jun 23, 2024 16:45 MYT
KUMPULAN heavy metal terkemuka tanah air XPDC Kita Pengyu mengotakan janji mereka untuk menghulurkan bantuan kepada pengulas sukan Astro Arena, Akbar Sahari yang bertungkus lumus mengumpul dana bagi menampung kos rawatan isterinya Noorsuzilawati Mohd Nor, 43.
XPDC Kita Pengyu menerusi pengurusnya Yazid Selamat dan pemain bass kumpulan itu Zuar menyerahkan sumbangan wang tunai kepada pasangan tersebut di sebuah hospital di ibu negara petang Ahad.
Menurut Yazid, dana tersebut adalah hasil kutipan tabung yang disumbangkan oleh peminat XPDC Kita Pengyu yang hadir pada konsert yang diadakan Sabtu malam di Sungai Besi.
"Dalam konsert yang berlangsung malam tadi kita telah menggerakkan tabung bantuan buat Akbar di tengah-tengah ribuan peminat yang telah hadir.
"Alhamdulillah, ia telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada kalangan peminat tegar kami yang turut bersimpati dengan apa yang telah menimpa Akbar dan isterinya.
"Kami harap bantuan ini dapatlah sedikit sebanyak mampu menampung dan meringankan bebanan yang ditanggung oleh mereka ketika ini," katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu Akbar yang cukup terharu dengan inisiatif yang dilakukan oleh XPDC Kita Pengyu amat berterima kasih atas sumbangan yang diberikan.
Baginya, ia adalah usaha yang besar dan cukup bermakna buatnya dan keluarga memandangkan ketika ini keadaan amat sukar buat dirinya dalam memikirkan jalan terbaik bagi menampung kos perubatan isterinya.
"Ia luar biasa sebenarnya dan saya amat terharu dengan apa yang telah mereka lakukan.
"Sungguh tidak mampu dijangka di sebalik penampilan dan gelaran rock yang sering kita lihat dalam kalangan mereka, tetapi sebenarnya mereka cukup prihatin dan berhati mulia dengan tampil untuk membantu dengan penuh kejujuran.
"Bahkan merekalah pihak pertama yang hadir memberikan sokongan dan kesanggupan untuk turut sama membantu saya dan isteri," jelas Akbar yang turut hadir pada konsert yang berlangsung malam tadi atas jemputan XPDC Kita Pengyu.
Sementara itu, menurut Zuar, tabung prihatin yang diwujudkan itu akan terus bergerak untuk menyumbang kepada mereka yang memerlukan.
"Dalam kes Akbar dan isteri ni kita cubalah bantu apa yang mampu dan sekiranya ada keperluan kita akan sambung lagi dalam show yang seterusnya.
"Sebelum ni pun tabung kita ni sebenarnya pernah juga membantu rakan-rakan artis yqng lain juga dan kita harap ia dapatlah menyumbang untuk meringankan bebanan mereka, Insya-Allah," kata Zuar lagi.
Isteri Akbar, Noorsuzilawati terlantar di hospital akibat penyakit kanser usus tahap empat yang dideritainya sejak 2020.
Difahamkan kanser itu telah merebak ke bahagian paru-paru dan hati serta perut.
#XPDC Kita Pengyu
#pengulas sukan Astro Arena
#Akbar Sahari
#Noorsuzilawati Mohd Nor
#kanser usus tahap empat