XPDC bakal gegar MAEPS buat kali kedua
Raja Hisyam Raja Zaid
April 2, 2023 22:52 MYT
April 2, 2023 22:52 MYT
Selepas konsert 'Metal Legend' bersama Cromok 2018 berjaya menarik puluhan ribu peminat, band heavy metal terkemuka tanah air XPDC sekali lagi mahu mengulanginya Mei ini.
Namun, kali ini XPDC tidak berganding dengan Cromok tetapi dengan kumpulan Khalifah pada 7 Mei 2023.
Menurut pengurusnya Bro Yazid, persembahan kali ini juga menjanjikan satu kelainan yang bakal ditampilkan bersama Khalifah.
'Ini adalah konsert bersempena dengan Sound Valley Festival 2023 yang diadakan oleh penganjur selama beberapa hari.
"Pihak penganjur juga menjemput beberapa artis terkemuka yang lain, namun XPDC akan digabungkan dengan Khalifah pada 7 Mei," katanya ketika ditemui pada Ahad.
Menurutnya, seperti biasa XPDC akan menyajikan lagu-lagu paling popular mereka kepada peminat yang hadir pada malam tersebut.
"Kita tahu sambutan ketika 2018 adalah yang paling ramai dan kita harap peminat akan dapat mengulanginya juga pada show (persembahan) malam itu nanti.
"Ini adalah konsert besar yang pertama selepas umat Islam merayakan Aidilfitri daripada XPDC," katanya lagi.
Menyentuh mengenai kesihatan vokalis Mael, Yazid memberitahu, kesihatan beliau berada dalam keadaan baik.
Malah, jelasnya XPDC juga telah mengadakan beberapa persembahan dan konsert sejak awal tahun 2023 tanpa sebarang masalah.
"Kita sentiasa monitor (pantau) tahap kesihatan beliau dan buat masa ni beliau amat sihat dan mampu menyanyi dua jam tanpa sebarang masalah.
"Terima kasih juga kepada semua peminat XPDC yang sentiasa prihatin dan memberikan sokongan berterusan kepada beliau dan XPDC.
Peminat kedua-dua kumpulan itu boleh mendapatkan tiket persembahan tersebut secara atas talian sebagaimana yang telah ditetapkan oleh penganjur.