'Working in pain, hanya Allah yang tahu sakitnya' - Aaron Aziz terpaksa tangguh pembedahan tumor

Gempak
Februari 20, 2022 09:00 MYT
Aaron Aziz memaklumkan dia terpaksa menangguhkan pembedahan kerana banyak urusan kerja yang perlu diselesaikan. -Gempak
PELAKON Datuk Aaron Aziz memaklumkan dia sepatutnya perlu menjalani pembedahan dan bercuti sakit selama dua bulan.
Namun dia terpaksa menangguhkannya kerana banyak urusan kerja yang perlu diselesaikan sebaliknya hanya menelan ubat tahan sakit.
“Selepas 90 minit berada dalam benda ini, MRI (pengimejan resonans magnet), doktor kata saya perlukan pembedahan dan cuti sakit selama dua bulan.
“Tapi tak boleh (bedah) sebab banyak projek yang sedang berjalan sekarang ini. Jadi buat masa ini saya hanya guna ubat untuk hilangkan sakit,” katanya.
Anak kelahiran Singapura itu berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.
Menerusi entri berkenaan, dia memuat naik video saat dirinya dimasukkan di dalam mesin MRI.
Pelakon "Adam & Hawa" itu mendedahkan kesakitan yang ditanggung selama ini berpunca daripada serangan tumor.
Justeru buat sementara waktu ini dia terpaksa meneruskan kerjanya meskipun dalam keadaan sedang sakit.
“‘Working in pain, hanya Allah tahu apa yang saya rasa.
"Korang tengok abang senyum sana, ketawa sini tapi korang tak nampak bila hati abang menangis kesakitan," katanya lagi.
Terdahulu, Aaron pernah membuat pendedahan mengalami masalah saraf tersepit pada bahagian lehernya sejak hampir 10 tahun lalu.
*Artikel asal di Gempak
#Aaron Aziz #MRI #tumor #telan ubat tahan sakit
;