Wings hadiahkan Konsert Kita Merdeka sempena 35 tahun dalam muzik
Irwan Muhammad Zain
Ogos 21, 2020 05:53 MYT
Ogos 21, 2020 05:53 MYT
Membuat persembahan di sebuah konsert secara langsung tanpa penonton memerlukan seorang penyanyi atau kumpulan menjadi kreatif.
Menurut penyanyi kumpulan Wings, Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie, melalui kreativiti itu aura dan semangat penonton tetap dapat dirasai.
Jelas Awie, Konsert Kita Merdeka yang bakal diadakan pada 29 Ogos ini bagaikan satu eksperimen untuk menguji kumpulan Wings beraksi menerusi konsert norma baharu.
"Macam mana kita nak dapatkan semangat atau aura daripada penonton, kita akan cuba pada hari itu nanti. Mungkin kita akan tidak teragak-agak untuk buat lebih kerana kita tahu penonton tidak ada di depan, jadi kita suka hati. Sebenarnya tidak. Ada had tertentu.
"Tetapi konsert tetap konsert, cuma kreativiti yang akan kami tonjol tanpa penonton di hadapan, insyaAllah akan jadi lebih baik dari biasa," katanya kepada Astro AWANI.
Awie berharap selepas Wings menjadi artis pertama mengadakan konsert secara norma baharu, lebih ramai lagi artis-artis lain berpeluang membuat perkara yang sama.
"Setelah Wings menjadi perintis dalam konsert ini, saya rasa ada peluang untuk artis-artis lain pula menjejaki langkah ini.
"Harap penganjur yang ini, atau yang lain, membuat perkara yang sama sebab kita tidak tahu bila COVID-19 ini akan berakhir.
"Kalau tidak berakhir, inilah caranya untuk kita menghiburkan penggemar-penggemar muzik di negara ini," katanya lagi.
Wings bakal menghiburkan peminatnya dengan 15 buah lagu dalam konsert yang dijangka berlangsung selama dua jam.
Dua artis baru, Zynakal and Yonnyboii akan membuat persembahan pembukaan untuk Konsert Kita Merdeka ini.
Wings, kata Awie tidak akan berputus asa untuk menghiburkan peminat mereka dengan apa cara sekalipun.
Konsert Kita Merdeka ini dirancang dalam masa dua bulan oleh Wings dan penganjur Sonic Minds Sdn Bhd dan Firm Motion Sdn Bhd.
Ia boleh ditonton melalui penstriman di www.wingskitamerdeka.liveframe.my. Peminat yang mahu menyaksikan konsert itu boleh membeli tiket berharga RM35 melalui www.galactix.asia.
Ia juga merupakan konsert penghargaan Wings yang popular dengan lagu Misteri Mimpi Syakilla dan Sejati, serta banyak lagi lagu, kepada peminat sempena 35 tahun kumpulan itu berada dalam industri muzik.
#15 lagu
#35 tahun
#Ahmad Azhar Othman
#aura
#Awie
#COVID-19
#konsert
#norma baharu
#penonton
#Sejati
#semangat
#tanpa penonton
#Wings