'Wayang: Sakti' gabungan tradisional dan teknologi baharu
Irwan Muhammad Zain
November 18, 2021 09:30 MYT
November 18, 2021 09:30 MYT
DENGAN hasrat meneroka seni persembahan tradisional, Istana Budaya bakal mempersembahkan "Wayang: Sakti" yang menggabungkan wayang kulit Kelantan dengan animasi, multimedia dan motion capture.
"Wayang: Sakti" diarahkan oleh Mohd Kamarulzaman Taib atau Che Kem menampilkan pembaharuan dengan memasukkan lakonan teater dalam persembahannya.
Ia juga diiringi ensemble wayang kulit Kelantan dan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), satu pembaharuan dalam persembahan wayang tradisional.
Menurut Che Kem, idea awal "Wayang: Sakti" ini sekitar April lalu namun disebabkan masih terbelenggu dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka ia tertangguh.
"Bila Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan kelonggaran untuk persembahan, barulah perbincangan dilakukan kembali sekitar September lalu.
"Setelah dipastikan tarikh persembahan, kami memulakan latihan dan membuat animasi pada Oktober lalu, kiranya dalam tempoh dua bulan kami membuat persediaan untuk persembahan ini," katanya kepada Astro AWANI.
Che Kem yakin mereka yang datang menonton "Wayang: Sakti" tidak akan pulang kecewa kerana ia berusaha memenuhi hasrat penonton terutama generasi muda.
"Diharapkan 'Wayang: Sakti' ditonton oleh generasi baru kerana pembikinan ini cuba mengisi penontonan hari ini.
"Ini adalah sebuah eksperimentasi tradisional yang perlu disahut oleh generasi muda dan khalayak baru untuk mendekati kesenian tradisional.
"Saya yakin siapa yang datang tidak akan kecewa," katanya lagi.
"Wayang: Sakti" menceritakan tentang Putera Sakti Kenchana dan Puteri Rakna Dewi di atas Jong Suluk menuju balik ke negeri Petala Timur.
Sebelum berangkat, ayahanda Raja Besar berpesan agar berhati-hati apabila melalui kawasan Teluk Mati Angin Pulau Mati Anak.
Malangnya semasa jong menyusur ke perairan itu, Putera Sakti Kenchana beradu, seluruh jong telah dijampi oleh Jin Hitam Sangduja.
Puteri Rakna Dewi telah diculik oleh Jin dan dibawa ke Gua Singa Malim. Perbuatan jahat Jin itu dilihat oleh sang Kera Belira Indera.
Barisan pelakon "Wayang: Sakti" terdiri daripada Mohd Suhaimi Ibrahim sebagai watak utamanya iaitu Tok Dalang , Zamzuriah Zahari (Puteri Rakna Dewi) , Kamarul Baisah Hussin (Jin Hitam Sangduja) , Tengku Iefizulasyrifie Putra (Kera Belira Indera) , Rudy De Luna (Sakti Kenchana) , dan dibantu oleh Artis Budaya Istana Budaya yang lain.
Pementasan "Wayang: Sakti" akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 19 dan 20 November 2021, jam 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya.
Pengunjung boleh menempah tiket pementasan bermula pada harga RM20 hingga RM80 di laman web rasmi Istana Budaya.
Selain "Wayang: Sakti", Istana Budaya juga akan mementaskan "Gema Gangsa" pada hujung minggu berikutnya iaitu 27 dan 28 November pada masa dan di tempat yang sama.
Program gabungan pemuzik OTM dan kumpulan Asuhan Seni Istana Budaya ini menampilkan konsep gamelan Melayu tradisional dan kontemporari dengan gubahan baharu tanpa menghilangkan nilai tradisi serta ciri estetika muzik gamelan.
Tetamu jemputan untuk Gema Gangsa adalah tokoh gamelan, Wan Salmah Wan Sulaiman dan Hamzah Abd Hamid, penyanyi terkemuka tanah air Ella, penggiat teater Naqiu dan adik Amirah Murshidah Nor Azman daripada kumpulan Asuhan Seni.