Walau di mana sahaja Kak Nita berada, Selamat Hari Lahir Superstar...

Saharudin Musthafa
Mac 23, 2019 11:59 MYT
Walau di mana sahaja Kak Nita berada, selamat hari lahir ke-67 buat penghibur kesayangan ramai.
MENGIKUT kiraan kasar, superstar ternama Anita Sarawak sudah hilang dari radar seni hampir lapan tahun.
Sepanjang tempoh itu, Anita atau nama sebenarnya, Ithnaini Muhammad Taib pergi tanpa sebarang khabar berita.
Anita yang juga sangat mesra disapa Kak Nita seakan-akan membawa diri jauh dari rakan-rakan industri hiburan.
Semua orang tertanya-tanya di mana Kak Nita? Mereka merindui dendangan Tragedi Buah Epal, Lodeh Mak Lodeh, Cintamu Muzik Di Hatiku dan banyak lagi.
Seandainya beliau berada di Malaysia ketika ini, anak kepada seniman Allahyarham Datuk S Roomai Nor dan Allahyarham Siput Sarawak tentu sekali akan diraikan oleh rakan-rakan rapatnya sempena ulang tahun kelahirannya ke-67.
Tarikh 23 Mac akan sentiasa menjadi ingatan mereka yang diketahui sangat rapat dengan Kak Nita.
Dan seandainya Kak Nita membaca tulisan ini, diharapkan Kak Nita muncul seketika mengubat kerinduan rakan-rakan dan peminat-peminat setianya.
Pecinta-pecinta kamu sudah terlalu merindui persona, kelincahan, senyuman manis, keramahan dan kasih sayang yang sentiasa kamu kongsi dengan mereka.
Selamat hari lahir Kak Nita, kami merindui kamu...
Spekulasi kehilangan Anita Sarawak
Seperti yang disebut di perenggan terawal, sudah terlalu banyak spekulasi mengenai Kak Nita dilaporkan di media dan di internet.
Berdasarkan penyelidikan Astro AWANI, Kak Nita difahamkan telah meninggalkan Malaysia pada 2011 terbang ke Amerika Syarikat (AS) tempat beliau pernah mencari rezeki selama berpuluh tahun.
Di AS atau lebih tepat di Las Vegas, Kak Nita membina sebuah kehidupan yang sempurna.
Hasil nyanyian, Kak Nita memiliki hartanah serta ketenangan dengan ditemani suaminya, Mahathir.
Ada khabar yang memaklumkan, Kak Nita bijak merencana kewangannya.
Namun, di sebalik berita-berita gembira itu, ada pula yang mendakwa Kak Nita berada di Singapura dan menetap di negara kelahirannya.
Tidak kurang yang menyampaikan khabar, Kak Nita kembali menyanyi di Las Vegas selepas merajuk dengan industri hiburan Malaysia.
Ada juga yang mendakwa Kak Nita sedang menderita sakit barah, namun berita itu dinafikan oleh adiknya, aktres Noorkumalasari.
BACA: Betul ke Anita Sarawak sakit kanser?
Laporan paling nakal pula mengatakan rumah tangga Kak Nita dan Mahathir berantakan. Sampai begitu sekali orang ramai membuah telahan!
BACA: Anita, Mahathir masih suami isteri - Noorkumalasari
Berita terbaharu yang kedengaran, Kak Nita dikatakan sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Lembah Kelang.
Sumber Astro AWANI menyampaikan berita, Kak Nita sudah beberapa minggu tiba di Kuala Lumpur bagi menjalani rawatan perubatan.
Seluruh ahli keluarga dan rakan terdekat Kak Nita tidak dibenarkan berkongsi berita mengenai artis tersohor itu kerana beliau mahukan privacy.
Kak Nita, sekali lagi dijelaskan, penulisan ini kami dedikasikan sebagai menyatakan kerinduan dan kasih sayang mendalam pada Kak Nita
Beberapa rakan terdekat Kak Nita turut berkongsi rasa mereka mengenai kehilangan kamu selain mahu mengucapkan selamat hari lahir buat sahabat yang tiada tolok bandingnya.
"Semoga Kak Nita sihat sejahtera..."
Kak Nita merupakan artis yang sangat mesra dan disayangi wartawan hiburan.
Kemesraannya bukan dibuat-buat, sebaliknya, beliau yang dikenali sangat menghargai persahabatan tidak pernah lokek berkongsi kasih dan sayang.
Tanyalah mana-mana wartawan yang pernah mengenali dan bekerjasama dengannya tentu mengakui Anita adalah seorang sahabat sejati.
Bagi wartawan dan penulis lirik terkena, Roslen Fadzil, seperti orang lain, dia juga amat merindui seorang sosok yang sudah dianggap seperti kakaknya itu.
Sebagai kenalan terdekat, Roslen berkata, keperibadian Kak Nita sangat menyenanginya.
"Kalau dapat bertemu dengan Kak Nita, saya mahu beritahu beliau betapa rindunya saya pada celoteh dan kemesraannya. Saya juga seperti orang laib ingin benar tahu di mana beliau berada," kata Roslen yang juga bekas wartawan akhbar Harian Metro.
Kepada komposer terkenal, Helen Yap pula, Kak Nita bukan hanya seorang seniwati tersohor, sebaliknya, beliau adalah sahabat yang tidak pernah lupa pada kawan-kawannya.
Kebaikan Kak Nita, ujar Helen, sangat jujur dan semua itu terpancar pada air mukanya.
"Saya rindu pada Kak Nita, terlalu rindu," ujar Helen menggambarkan kerinduannya.
Kata Helen, sebagai rasa hormat pada superstar itu, dia masih menyimpan semua skor muzik lagu-lagu Kak Nita selain minus one yang elok tersimpan rapi di studio.
"Selepas beliau hilang, saya berjanji untuk menyimpan semua skor muzik yang ada dalam simpanan dengan harapan satu hari nanti, saya akan berpeluang mengiringi persembahannya," kata Helen berkongsi cerita dengan Astro AWANI.
Buat Kak Nita, selamat hari lahir supestar! Semoga kamu sihat sejahtera dan sedang menikmati kebahagiaan.
BACA : Perbualan terakhir pada Mac, Noorkumalasari risaukan Anita Sarawak
#Anita Sarawak #Cintamu Muzik Di Hatiku #Kak Nita di mana kamu #Selamat Hari Lahir Kak Nita #superstar #Tragedi Buah Epal
;