Wajah, suara disalah guna 'scammer', Khairul Aming beri peringatan
Gempak
Ogos 15, 2024 15:45 MYT
Ogos 15, 2024 15:45 MYT
PENCIPTA kandungan, Khairul Aming meluahkan kebimbangan apabila pihak tidak bertanggungjawab menggunakan wajah dan suaranya untuk menjual barangan kepada golongan berusia.
Khairul Aming, 31, mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan scammer yang menyalahgunakan gambar dan suaranya menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
“Itulah suara AI dan gambar saya yang scammer dah guna untuk tipu orang ramai. Semua benda ni berada di luar kawalan.
“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati kerana fitnah sudah makin berleluasa serta AI ini sudah salah guna. Jangan mudah terpercaya," katanya menerusi video yang dikongsikan di sosial media.
Khairul Aming turut menegaskan bahawa dia tidak menjual apa apa barangan selain produknya sendiri iaitu Sambal Nyet dan Dendeng Nyet.
“Saya tidak menjual apa-apa barang. Yang saya jual adalah produk saya iaitu, Sambal Nyet dan Dendeng Nyet.
"Kalau korang nampak muka saya jual barang gajet... janganlah percaya ya... terutama sekali warga emas. Dekat Facebook dah makin berleluasa. Saya juga ingin pesan kepada semua... fikir, siasat dan tengok dulu sebelum beli barang okey," jelasnya.
Meninjau di ruangan komen, ramai rakan artis, pempengaruh dan netizen turut berkongsi sesetengah daripada mereka hampir percaya dengan scammer yang menggunakan wajah dan suara Khairul Aming.
Antara komen yang ditinggalkan;
“Dekat Facebook bersepah ye orang guna muka KA (Khairul Aming) ni. Mak aku siap forward suruh beli lagi katanya sebab KA promote”
“Uishh dahsyat sekarang. Memang yang kurang ilmy mudah terpedaya. Semoga dipermudahkan urusan KA”
“Banyak Ming kat FB pun sepah siap suruh klik link… hati-hati korang itu semua menipu je”, komen dari netizen.
Setakat artikel ini ditulis, video Khairul Aming ini sudah mencapai 579,000 jumlah tontonan dan 66,000 likes. - Gempak