Wajah Spice Girls hiasi setem peringatan
Agensi
Januari 6, 2024 08:15 MYT
Januari 6, 2024 08:15 MYT
KUMPULAN pop ternama British, Spice Girl barangkali antara artis yang cukup bertuah kerana wajah kesemua ahli itu ditampilkan pada setem peringatan khas.
Royal Mail mengeluarkan satu set 15 setem meraikan salah kumpulan pop paling berjaya di dunia sekali gus sempena ulang tahun ke-30 penubuhan mereka.
Ini merupakan kali pertama Royal Mail mendedikasikan keseluruhan keluaran setem kepada kumpulan pop wanita.
Menurut Spice Girls, mereka tidak pernah dapat membayangkan perkara itu berlaku ketika mereka mula-mula membentuk, sambil menambah: "Itulah kuasa wanita!"
Spice Girls dianggotai oleh Emma Bunton, Victoria Beckham, Geri Halliwell-Horner, Melanie Chisholm dan Melanie Brown - atau masing-masing dikenali dengan nama pentas Baby, Posh, Ginger, Sporty dan Scary Spice.
Kelima-lima mereka mengasaskan kumpulan itu pada 1994.
Kesemua 10 setem utama yang diterbitkan Royal Mail iaitu syarikat perkhidmatan pos dan kurier United Kingdom (UK) itu memaparkan imej daripada persembahan mereka dari 1997 hingga 2012 termasuk di Anugerah Brit pada 1997 dan majlis penutupan Sukan Olimpik London (2012).
Imej lain termasuk Victoria Beckham, membuat persembahan semasa The Return of the Spice Girls Tour di Madison Square Garden di New York City pada 2008.
Geri Halliwell-Horner, dalam pakaian Union Jack ikoniknya di Brits 1997, juga mendapat setemnya sendiri.
Ginger Spice - seperti yang dikenalinya ketika itu - menjadi tajuk utama pada tahun itu apabila dia mencium Putera Charles ketika itu pada acara amal.
Potret Charles yang kini menjadi Raja telah muncul pada semua setem Royal Mail standard sejak April lalu.
Lima lagi setem dalam helaian kecil memaparkan imej individu ahli kumpulan yang diambil dari fotografi Spice World.
Selepas pelancaran single pertama Wannabe yang menduduki carta teratas pada tahun 1996, "Spice mania" melanda dunia.
Secara keseluruhan, mereka mendapat sembilan hits nombor satu di UK termasuk Say You'll Be There, 2 Become 1, Who Do You Think You Are, Spice Up Your Life dan Viva Forever.
Band ini menjadi kumpulan muzik keenam yang muncul dalam terbitan setem peringatan khas mengikut jejak The Beatles pada 2007, Pink Floyd (2016), Queen (2020), The Rolling Stones (2022) dan Iron Maiden (2023).
Spice Girls berkata mereka "sangat teruja diraikan oleh Royal Mail bersama beberapa legenda muzik yang paling ikonik dan berpengaruh."
Dalam perkembangan sama, Pengarah Hal Ehwal Luar dan Dasar Royal Mail, David Gold berkata: “Spice Girls telah menjadi kekuatan yang perlu diperhitungkan sejak mereka ditubuhkan sebagai sebuah kumpulan pada 1994.
"Kami berbangga untuk meraikan kumpulan muzik wanita paling berjaya yang pernah dilihat, bukan sahaja untuk muzik mereka tetapi pengaruh mereka yang kekal dalam banyak aspek kehidupan kami."
Setem-setem itu akan mula dijual kepada orang ramai pada 11 Januari ini. - BBC