Wai Ching raih kemenangan keempat di AS

Bernama
Oktober 9, 2022 04:00 MYT
Atlet berusia 28 tahun itu melakukan catatan 3 minit 47 saat untuk mengatasi rekod Troy Alston dari AS 4:12s melengkapkan larian 39 tingkat dengan 861 anak tangga (ketinggian 142 meter). - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jaguh larian menara Soh Wai Ching meraih gelaran keempat berturut-turut di Amerika Syarikat (AS) selepas menjuarai Tunnel to Towers Climb Tampa Florida, pada Sabtu.
Atlet berusia 28 tahun itu melakukan catatan 3 minit 47 saat untuk mengatasi rekod Troy Alston dari AS 4:12s melengkapkan larian 39 tingkat dengan 861 anak tangga (ketinggian 142 meter).
Wai Ching melahirkan kegembiraan kerana mencapai matlamat untuk memenangi perlumbaan terakhirnya dengan cemerlang.
"Sangat gembira memenangi semua perlumbaan. Saya ingin berterima kasih kepada penaja kerana menyokong saya untuk empat perlumbaan dalam masa sembilan hari! Ia adalah perjalanan yang sangat sukar," katanya dalam kenyataan Ahad malam.
Pada 30 Sept lepas Wai Ching menjuarai Larian Menara US Bank di Los Angeles diikuti Pertandingan Mendaki Anak Tangga Space Needle, Seattle pada 2 Okt dan mempertahankan kejuaraan pada kejohanan Empire State Building Run-Up (ESBRU) di New York, Khamis lepas.
-- BERNAMA
#atlet larian menara #Soh Wai Ching #Amerika Syarikat #catat kejayaan
;