VoB cipta sejarah, band Indonesia pertama di pentas Glastonbury

Agensi
Jun 23, 2024 21:00 MYT
Voice of Baceprot bakal berkongsi pentas dengan artis terkemuka lain seperti Coldplay dan Shania Twain. - Instagram / VoB (Voice of Baceprot)
JAKARTA: Dengan hijab yang dikenakan, lirik yang mementingkan mesej sosial dan muzik bergenre metal, band wanita Indonesia, Voice of Baceprot (VoB) mampu mengadakan persembahan di seluruh dunia.
Jumaat depan, mereka akan menjadi band pertama Indonesia yang mengadakan persembahan di Festival Glastonbury, salah satu festival muzik terbesar dunia, berkongsi pentas dengan artis terkemuka lain seperti Coldplay dan Shania Twain.
Tiga wanita muda itu; vokalis, Widi; gitaris Firda Marsya; dan pemain dram, Siti Aisyah, memulakan kerjaya mereka dengan muzik pop Indonesia sejak kecil.
Mereka bertemu di sebuah sekolah agama dan membentuk kumpulan itu pada tahun 2014.
Sejak itu, mereka berusaha untuk menukar stereotaip bahawa wanita Islam adalah lemah, atau orang Islam secara amnya adalah pengganas.
"Pernah satu ketika, kami membuat persembahan di konsert, ada seseorang yang menjerit, 'Allahu Akbar!' dan 'Kaboom!' (meniru bunyi letupan).
"Ia datang dari kalangan penonton, seolah-olah kami adalah penjenayah dan pengganas di mata mereka," kata Firda Marsya.
Cabaran paling sukar untuk VoB ialah menangani stigma, baik di luar negara dan mahupun di dalam negara.
“Di kampung kami, metal dianggap sebagai 'muzik syaitan' — tidak sesuai untuk wanita, terutama wanita bertudung seperti kami,” kata Widi.
"Pada pendapat saya, pada zaman ini ramai wanita yang bertudung. Jadi bagi band metal yang bertudung, ia sebenarnya bagus, maknanya memakai tudung bukan penghalang untuk bermain muzik dalam mana-mana genre," kata peminat fanatik band tersebut, Jihan Afifah.
Lagu-lagu band itu kebanyakannya bertemakan pemerkasaan wanita, serta keluhan tentang bagaimana tumpuan sering diberi pada penampilan dan bukannya muzik yang dibawa.
Selepas Glastonbury, mereka akan menghasilkan album baharu dan single baharu bertajuk Mighty Island, yang akan membicarakan isu rasuah di Indonesia.
Band itu juga berhasrat membina komuniti pemuzik yang bercita-cita tinggi di tanah air mereka.
#Voice of Baceprot #Indonesia #festival glastonbury #muzik
;