Virus Kawasaki: "Doktor pantau jantung Aryssa selama 3 bulan" - Amyra Rosli
Gempak
April 29, 2022 18:49 MYT
April 29, 2022 18:49 MYT
Pelakon jelita Amyra Rosli meluahkan rasa syukur apabila keadaan anaknya semakin pulih daripada terkena jangkitan virus Kawasaki sekitar awal bulan lalu.
Menurut Amyra atau nama sebenarnya Nur Amira Izzati Rosli, 31, kini Ayra Aryssa, 2, perlu berada di bawah pemantauan doktor selama tiga bulan dan bergantung pada ubat sebelum boleh pulih sepenuhnya.
“Alhamdulillah Aryssa okay, semakin baik, recovering cuma saya kena monitor jantung dia selama tiga bulan so dia kena makan ubat cair darah hari-hari.
“Ubat untuk virus Kawasaki ni, satu treatment kena makan lapan botol, selalunya enam ke lapan botol budak akan terus baik. Anak saya, 16 botol dah, dengan steroid lagi, anak saya jadi kembung. Saya tak boleh dukung dia sebab jadi terlalu berat, badan penuh air.
“Virus Kawasaki ni menyebabkan jantung dia berair, saluran bengkak. Aryssa kena bergantung pada ubat sekarang, mudah-mudahan lepas tiga bulan ni dia sihat sepenuhnya,” ujar Amyra kepada Gempak.
Amyra ditemui pada majlis berbuka puasa Astro Drama Jangan Menangis Cinta dan Dendam Seorang Isteri yang diadakan di SACC Mall, Shah Alam pada Khamis.
Luah isteri kepada aktor Amar Baharin ini lagi, meskipun berdepan dengan pelbagai dugaan seperti positif COVID-19 dan kesihatan anak, dia kuatkan semangat dan mendapat ketenangan untuk mengawal situasi.
“Saya reda seikhlas-ikhlas hati dengan apa yang terjadi pada Aryssa. Sedih sangat, dengar Amar pulak shooting, kadang bila saya balik rumah, kat basement tu saya terduduk, berfikir macam kenapa bertubi-tubi dugaan datang.
“Tapi alhamdulillah, Allah bagi saya ketenangan untuk berdepan semua ni.
“Sebagai ibu kan, ubat tu panas. Rambut dia jadi gugur, perut dia jadi kembung, saya tak boleh nak buat apa. Kalau saya lawan cakap doktor, mungkin dalaman anak saya jadi makin teruk,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu juga, Amyra bersyukur insiden tersebut membuka mata ramai ibu bapa tentang virus-virus yang boleh mendatangkan bahaya pada anak-anak mereka.
“Alhamdulillah, kejadian ni pun sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa ambil tahu tentang virus-virus yang kita tak tahu ni.
“Kawasaki ni sangat teruk, nak kena pula waktu raya ni, saya harap jangan la ada yang kata parents kedekut anak ke apa,” katanya lagi.
*Artikel asal disiarkan di Gempak