Video mikrofon Ziana Zain terpelanting jadi viral, peminat beri sokongan
Kohilah Sekaran
Ogos 18, 2015 15:55 MYT
Ogos 18, 2015 15:55 MYT
Kegagalan penyanyi Ziana Zain mengakhiri persembahan beliau dengan sempurna pada majlis kemuncak Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW2015) menjadi perbualan mulut orang ramai di media sosial.
Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana Zain, terpaksa berhadapan dengan situasi yang sukar apabila mikrofon yang digunakannya 'terpelanting' ketika membuat persembahan di KLFW2015 pada Ahad lalu.
Video tersebut menjadi viral di laman sosial sehingga ramai yang memuji sikap Ziana yang terbuka walaupun berhadapan dengan situasi seperti itu.
Dalam video berdurasi 15 saat itu, mikrofon yang dipegang Ziana dilihat terlepas ketika penyanyi berusia 47 tahun itu mengakhiri persembahannya.
Bagaimanapun Ziana kemudian mengambil semula mikrofon berkenaan dan mengakhiri persembahannya dengan penuh yakin.
Susulan insiden itu, peminat Ziana Zain memberi sokongan serta pujian terhadap sikap profesional penyanyi itu di media sosial.
Manakala, menurut portal mStar Online, Ziana meyifatkan insiden itu sebagai satu 'drama lucu' sepanjang karier nyanyiannya.
"Rasa kelakar pula. Semua sebab losyen tangan. Pada penghujung nyanyian ketika menyampaikan lagu XO (nyanyian asal, Beyonce), saya mahu angkat tangan, tetapi mikrofon pula yang terpelanting.
"Perkara seperti itu biasa terjadi kepada sesiapa pun. Jadi sekiranya ada penyanyi berhadapan dengan situasi di luar jangkaan seperti ini, tidak perlu gusar. Sebaliknya bersikap yakin di atas pentas sehinggalah habis persembahan," katanya dipetik dari portal mStar Online.