Video jejaka kacak Melayu fasih bertutur bahasa Tamil viral
Gempak
Ogos 15, 2017 10:21 MYT
Ogos 15, 2017 10:21 MYT
Video seorang jejaka kacak yang fasih bertutur dalam Bahasa Tamil menjadi viral di laman sosial.
Dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook bernama Vickey Suresh Ariman, video itu memaparkan jejaka tersebut bertutur dalam Bahasa Tamil dengan beberapa orang pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
Selain video berdurasi 42 saat, Vickey Suresh Ariman turut memuat naik dua keping foto jejaka kacak itu.
Menerusi pemerhatian yang dijalankan di ruangan komen, netizen mula meneka siapakah gerangan jejaka kacak tersebut.
Lelaki tersebut merupakan seorang pemilik ijazah kedoktoran dan merupakan seorang Pensyarah Kanan dan Pakar Kriminologi Forensik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohammad Rahim Kamaluddin.
Kepakaran Rahim bertutur dalam Bahasa Tamil dipelajari ketika dirinya belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
Selain menjadi seorang pakar dalam bidang kriminologi, Rahim turut aktif memberi motivasi dan ceramah di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil seluruh Malaysia.
Setakat ini, entri Facebook milik Vickey Suresh Ariman yang dimuat naik pada 8 Ogos lalu menjadi viral dengan lebih 4,000 perkongsian.
Teks oleh: Kamaruddin Razal