Veteran dah tak relevan? Norlia Ghani bukti artis lama masih diingati, terima 1 juta tontonan di TikTok

Gempak
Mac 3, 2024 12:39 MYT
Percubaan Norlia menjadi salah seorang warga TikTok didorong perasaan ingin tahu adakah benar dakwaan pelaku seni lama atau veteran sudah tidak relevan dan semakin dilupakan. -Gempak
MENYIFATKAN dirinya sebagai seorang yang suka mencuba, bintang senior Norlia Ghani kini aktif di laman sosial TikTok.
Percubaan menjadi salah seorang warga TikTok didorong perasaan ingin tahu adakah benar dakwaan pelaku seni lama atau veteran sudah tidak relevan dan semakin dilupakan.
“Ramai orang cakap golongan artis veteran sudah mula dilupakan.
"Jadi saya buat TikTok untuk buktikan kepada diri sendiri betul ke tidak dakwaan ini, ada tak orang nak follow Mama,” ujar Norlia Ghani yang mesra membahasakan dirinya sebagai Mama.
Menurut Norlia yang ditemui selepas majlis Gempak Most Wanted 2023, beliau agak terkejut kerana menerima sambutan memberangsangkan saat pertama kali membuat siaran langsung di TikTok.
“Jadi bila pertama kali Mama buat siaran langsung, terima satu juta tontonan,” katanya sambil ketawa.
Lantaran itu Norlia, 76, mengaku kini aktif di TikTok dengan menggunakan nama sebenarnya, Norlia Ghani.
“Bukan orang muda saja yang boleh main TikTok, tak salah orang seperti Mama sudah 76 tahun pun buat konten.
“Konten Mama lebih kepada pengalaman berlakon dan ramai yang selalu tanya mengenai babak-babak dalam lakonan yang Mama pun sudah lupa,” katanya.
Cuma menurut Norlia, beliau malu dan tidak pernah berharap diberikan hadiah (gift) daripada peminat saat bersiaran langsung.
"Kali pertama saya dapat hadiah ialah 'singa', kemudiannya macam-macam lagi. Kalau bunga ros tu tak payah cakaplah memang banyaklah...
“Mama tidak harap orang bagi gift sebab gift itu dapat duit. Mama malu, macam minta dan rasa tidak kena.
“Pada saya walaupun Ros (gift) bernilai RM1, (terima) macam penghargaan orang pada Mama,” katanya lagi. -Gempak
#TikTok #Norlia Ghani #artis veteran #Gempak Most Wanted 2023
;