Utamakan kesihatan serta mental sebab Justin Bieber tangguh jelajah Justice

Astro Awani
September 8, 2022 22:03 MYT
Justin Bieber mengakui berasa sangat penat dan lelah ketika meneruskan siri jelajah dunia Justice di beberapa lokasi sebelum ini. - Gambar fail/ETX
KUALA LUMPUR: PENYANYI pop sensasi, Justin Bieber sekali lagi menangguhkan siri jelajah dunia Justice untuk mengutamakan kesihatan mental dan fizikalnya.
Dalam pengumuman yang dibuat di Instagram pada Rabu, penyanyi itu memberitahu terpaksa berbuat demikian selepas menyedari dirinya belum pulih sepenuhnya.
"Awal tahun ini, saya mendedahkan kepada umum saya menghidapi sindrom Ramsay-Hunt yang membuatkan separuh wajah saya lumpuh.
"Atas sebab ini, saya tidak dapat menyelesaikan konsert jelajah Justice di Amerika Utara.
"Selepas berehat dan mendapatkan nasihat daripada doktor, keluarga dan pasukan, saya meneruskan jelajah ke Eropah untuk menyambung konsert ini.
"Saya menghabiskan persembahan di enam lokasi. Ia memberi kesan kepada saya. Pada hujung minggu lalu, saya berada di Rock in Rio dan memberikan yang terbaik buat peminat di Brazil.
"Namun setelah turun dari pentas, saya berasa sangat penat dan saya sedar saya perlu mengutamakan kesihatan saya ketika ini," katanya.
Bieber turut berterima kasih kepada sokongan peminat yang tidak henti mendoakan kesejahteraannya terutama ketika berdepan cabaran seperti ini.
Beliau berharap akan kembali selepas mendapatkan rehat secukupnya.
Mengikut perancangan, Bieber sepatutnya melakukan persembahan pada 22 Oktober depan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Belum dapat dipastikan sama ada tarikh konsert itu berubah atau dikekalkan buat masa ini.
Terdahulu, pada Jun, penyanyi kelahiran Kanada itu terpaksa berehat dua bulan akibat sindrom Ramsay-Hunt yang melumpuhkan mukanya.
#Justice World Tour #konsert #Justin Bieber #jelajah dunia #justice #jelajah
;