'Ustat' PASKAL kongsi posting terakhir anggota bomba sebelum terkorban
Gempak
Oktober 4, 2018 14:02 MYT
Oktober 4, 2018 14:02 MYT
PELAKON PASKAL, Taufiq Hanafi telah memuat naik posting terakhir anggota bomba yang maut dalam tragedi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Puchong malam tadi di laman sosial Instagram (IG).
Taufiq yang membawa watak Leftenan Khairil Fikri Abdul Musa atau 'Ustat' menerusi filem PASKAL, berkongsi status dimuat naik salah seorang anggota bomba dikenali sebagai Adnan Otman.
Allahyarham Adnan Othman yang menggunakan nama Adnan Othman Tokey Gula telah memuat naik status mengenai kematian di laman sosial Facebook miliknya.
LAPOR LANGSUNG: Bomba hero kami
Memetik laporan Astro Awani, malam tadi (Rabu), enam anggota bomba dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM Selangor lemas dalam operasi SAR mangsa lemas di sebuah lombong di Taman Putra Perdana.
Dalam kejadian itu kesemua anggota terbabit dilaporkan lemas ketika mencari seorang remaja 17 tahun yang dipercayai terjatuh dalam lombong tersebut.
JBPM Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua pegawai tersebut berjaya dinaikkan namun disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan meskipun bantuan pernafasan kecemasan (CPR) telah dilakukan.
Mereka yang terkorban ialah Mohd Fatah Hashim, 34 tahun; Izatul Akma Wan Ibrahim, 31 tahun; Mazlan Omarbaki, 24 tahun; Yahya Ali, 25 tahun; Adnan Othman, 33 tahun; dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun.
Menurut kenyataan itu lagi, buat masa ini remaja yang terjatuh masih belum dijumpai.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid dalam kenyataannya memberitahu, air deras dipercayai punca enam penyelam PPDA terbabit lemas.
#Astro Awani
#bomba
#Facebook
#JBPM
#laman sosial
#lemas
#lombong
#mangsa
#operasi
#remaja
#Taman Putra Perdana